Wednesday, July 31, 2013

Plastik dan Lantai Simen

Fawwaz berlari-lari anak ke Dewan Makan. Dia sudah lewat untuk sesi usrah Abang Shafiq. Abang Shafiq memang terkenal dengan kegarangan beliau. Kulitnya yang agak gelap menjadikan beliau lebih menakutkan di dalam surau yang berlampu malap. Fawwaz lewat hari ini kerana selection kriket habis lewat. Seorang jurulatih dari Bangladesh datang memberi latihan. Satu perkara yang Fawwaz tidak mahu lepaskan.
"Ahh...persetankan datang lewat Usrah. Perut aku lebih penting!" dengus Fawwaz.
Sampai di Dewan Makan, tiada seorang pun pelajar Tingkatan 1 yang kelihatan. Semua sudah pergi ke Usrah. Zainul dan Radzi yang bersama Fawwaz ketika selection kriket tadi juga bertekad untuk terus pergi Usrah tanpa makan.
"Bayar seringgit sehari ni wei...Rugi tak makan." fikir Fawwaz.
Selesai mengambil makanan, Fawwaz terus duduk di meja membelakangi sekumpulan pelajar Tingkatan 4 yang duduk agak jauh. Selesai membaca doa makan dan ketika Fawwaz hendak mula menyuap makanan tiba-tiba terdengar satu suara.
"Hoi, Form 1!"
Fawwaz cuba untuk tidak menoleh dan buat-buat tidak dengar. Kedengaran sekali lagi suara terpekik dengan penuh kurang ajar.
"Hoi, Form 1!!! Baju melayu biru!!!"
Fawwaz tidak dapat mengelak lagi lantas menoleh. Kelihatan Abang Anep melambai-lambai. Fawwaz lantas bangun dan berjalan ke meja tersebut.
"Hoi, amekkan aku air kat depan." Kata Abang Anep.
"Aku sekali..." sampuk Abang Jonah dan 4 rakan yang lain.
Fawwaz memegang 6 cawan di dalam tangan beliau kerana perasaan tidak sabar untuk makan ikan masak kicap. Fawwaz bergerak tangkas ke bahagian depan dewan makan untuk mengambil air. Tiba-tiba Fawwaz terpijak kuah kicap yang tertumpah di atas lantai. Minyak di dalam kuah kicap itu menyebabkan selipar Fawwaz kehilangan cengkaman. Fawwaz mula hilang keseimbangan. Dunia di sekelilingnya mula berputar. Dalam sekelip mata sahaja Fawwaz terlihat siling dewan makan dan mendengar bunyi plastik berentakan dengan lantai simen dewan makan.
"TANG...KLENTUNG...KLENTANG!!!"
Dan disambut pula dengan bunyi sorakan dari segenap umat di dalam dewan makan.
"Woooooooo.........."
Fawwaz sedar dia harus bertindak cepat. Kesakitan mula meresap tapi dipersetankan Fawwaz. Dia lantas bangun sambil membetulkan songkok di atas kepala dan mengutip semula 6 cawan yang berselerakan. Fawwaz mengorak langkah ke tong air dan mengisi kesemua cawan tersebut.

Thursday, July 18, 2013

Jawapan Teragung

Ucop berkali-kali tengok jam tangannya. Bedebah, maki Ucop dalam hati. Ujian tengah tahun kali ni sememangnya susah, terutama Sains. Atau Ucop memang tak study langsung, entahlah. 

Ada setengah jam lagi masa akan tamat. Bahagian subjektif Sains tingkatan 3 masih banyak yang lompang tak berisi. 

Ni semua salah Shahrul Mansor, suruh aku training ragbi hari-hari sampai melepek, bengong! Ucop sempat menyalahkan jurulatih ragbinya. Sebab kepenatan training, Ucop selalu terlelap sewaktu prep lantas tak study. 

Jari Ucop pantas memutar-mutar pen menulis sebelum tiba-tiba berhenti. Ucop genggam dengan kukuh. Tersenyum lebar. 

Aku dah dapat jawapan kepada semua ni, jerit batin Ucop. 

'Hanya Allah yang mengetahui jawapannya' 

Ucop tonyoh jawapan kepada semua soalan yang belum terjawab. Ucop senyum dan berkata dalam hati, takkan cikgu nak kata jawapan ni salah pulak kan? Berani pulak dia nak lawan ketentuan Tuhan! 

Ucop angkat tangan, serahkan kertas jawapan dan berlalu keluar puas. A yang solid dalam genggaman!