Sunday, December 14, 2014

Reputasi

Musim request* kini kembali. Banyak kelab menganjurkan aktiviti request untuk mengumpul dana kelab. Banyak kelab yang terlibat, dari Kelab Kejuruteraan sampailah ke Kelab Wadah Perdana ( sebenarnya keahlian mereka adalah terhad, dalam kata lain; elitis).

Sewaktu prep petang, kelihatan wakil kelab Briged Cyber bergerak dari kelas ke kelas membuat pengumuman aktiviti Request mereka pada semester ini. Ucop memerhati tajam Mawar, si wakil Briged Cyber singgah ke kelas seberang. 

Sekonyong-konyong tu Ucop jadi sayu, setiap kali musim Request tiba, rakan- rakan beliau akan dapat banyak dedikasi dan hadiah. Ada yang dapat daripada crush, kakak dan abang angkat. Si Acit contohnya, kali terakhir dia dapat ada jugak la 10 bungkusan. Si Fazlin, dekat 20. Ucop yakin setengah daripada request Fazlin dapat tu mesti daripada crush. Ucop sendiri? Satu takpun dua aje. Itu pun tak bernama. Ucop yakin tu mesti dari akak form 4 gemuk yang tak habis-habis usaha nak jadikan dia adik angkat. Try hard betul, Ucop sempat mengutuk dalam sambil sayu tu.

Tapi kenapa Request ni seakan penting kepada penghuni Jalan Tenteram? Request adalah tanda aras populariti seseorang individu! Mendapat dedikasi request yang banyak menjadi seseorang itu minor celebrity di kalangan rakan-rakan!

Mawar tiba ke kelas Ucop. Bagaikan dah tahu, ramai menyerbu untuk membuat Request masing-masing. Ucop malas nak join sekali. Lagipun pakej Request Briged Cyber kurang menarik. Haprak la, kutuk Ucop. Sentimen Ucop dikongsi bersama Fawwaz yang selalu setuju dengan tindakan Ucop. Padahal mereka ini loser, atau kata orang putih, bottom of the barrel. Dalam hirarki populariti, mereka tak diketahui wujud. Kewujudan mereka hanya disedari ketika khidmat mereka diperlukan untuk iron baju atau kalau terlupa bagi senior salam (jadi ada sebab untuk senior bagi sepenumbuk dua).

Fawwaz masih membebel tentang keburukan gejala Request yang menggalakkan budaya couple dan melalaikan pelajar daripada belajar, sedangkan Ucop masih terbawa-bawa sayu akan nasibnya. Emosi betul.

Tapi semua itu dilupakan beberapa hari kemudian. Ucop kembali leka dengan aktiviti lain...sehinggalah tiba hari delivery Request Briged Cyber.

Macam nak terbeliak mata Ucop tengok Fawwaz dihujani hadiah Request yang banyak. Lagi banyak daripada Acit! Malah Fazlin pun macam pale in comparison yang Fawwaz dapat. Ucop? Kosong. 

Babi! Maki Ucop dalam hati. Rasa dengki bertimpa-timpa melihat Fawwaz tersengih lebar. Fawwaz menjadi perhatian ramai. Fawwaz kini mendaki tangga populariti. Fawwaz kini berada dalam Liga Junior Famous. Semua orang nak mengendeng Fawwaz. Semua orang nak ajak Fawwaz rehat bersama. Semua orang nak ajak Fawwaz buat group study. Semua orang nak dengar bila Fawwaz bersuara.

Copp! Eh, jomlah tolong aku habiskan food ni, pelawa Fawwaz masa Ucop pura-pura buat homework. Ucop turuti aje, yelah Fawwaz sekarang kan famous. Mana dah duduk sekali liga loser macam Ucop. Bersyukur la kalau Fawwaz angkat kening bila terserempak kat toilet pun.  Ucop belek beberapa bungkusan.

"Dear Fawwaz, study smart <3. From, Kak D"

"Fawwaz, awak adorable. Peminat rahsia"

"Fawwaz, kalaulah hadiah ni boleh berkata-kata... Daripada, Wani."

Tersirap Ucop baca. 

Persoalannya, macam mana Fawwaz boleh jadi begini popular? Ucop jadi depress. Ucop sampai rasa nak merangkak kat akak gemuk form 4 tu dan rayu diambil jadi adik angkat, agar dia tak rasa pathetic sangat dengan realiti dihadapi sekarang.



Tapi tak ada siapa pun beritahu Ucop, yang semua dedikasi Request tu Fawwaz  hantar kepada diri sendiri. Ini semua rancangan Fawwaz nak jadi one-upper dan dilihat popular. Kesian Ucop, terasa terasing dan tidak dipedulikan.

*Apa itu request?

Request,  secara literal bererti permintaan. Dalam erti sebenar, ia adalah satu aktiviti dedikasi dalam bentuk fizikal, seperti memberi snek atau hadiah, dan disertai ucapan daripada seorang individu kepada individu lain. Selalunya request ini merupakan satu gesture  kasih sayang untuk pasangan kekasih, crush atau individu yang ada adik/kakak/abang angkat atau kepada rakan baik. Identiti tukang request boleh dirahsiakan atau made known. Tiada guideline yang tertentu dalam membuat aktiviti request, selalunya request mempunya pakej atau bundle seperti contoh, pakej RM 4 (selalunya pakej diberi nama fancy, kadang-kadang berbunyi poyo) mengandungi 5 biji coklat sebarang jenama, sebungkus Twisties bersaiz kecil diikat cantik reben disertai kad untuk ucapan dedikasi. Itu adalah contoh paling tipikal, ada kelab yang stay true kepada request yang sebenar, seperti mengumumkan ucapan di corong PA sewaktu hari keusahawanan contohnya. Aktiviti request merupakan antara kenangan zaman sekolah yang rasanya ramai alumni Jalan Tenteram masih terkenang...kot.


Misi Mustahil

Fawwaz termengah-mengah. Tangga tonggek didakinya dengan laju sekali. "Baru pukul 6 petang. Abang-abang ragbi mesti tengah main dekat padang lagi" ujar Fawwaz dalam hati. Tangan Fawwaz penuh dengan jajan dan snek. 3 plastik penuh hasil lawatan orang tuanya sebentar tadi. Ada Pringles, Oreo, Twisties, dan bermacam-macam lagi snek ala barat. Selepas tangga tonggek, Fawwaz perlu melalui kawasan bahaya, melintasi Blok A dan B. Tapi Fawwaz yakin, abang-abang senior lebih suka bermain di padang ataupun masih tidur terbongkang di katil pada petang Ahad begini.

Selepas menghela nafas sebentar, Fawwaz terus sahaja berjalan laju menuju ke Blok D yang terletak di hujung sekali. Rentak langkah Fawwaz semakin laju walaupun termengah-mengah. Dalam benak fikirannya hanya satu, "Aku perlu sampai segera ke blok D!". Dia berjalan tanpa menoleh kiri dan kanan. Fawwaz memang fokus.

Sampai sahaja di hujung Blok B, Fawwaz semakin tiba ke destinasi. Dia bertambah yakin yang dia akan terselamat kali ini. Baru sahaja Fawwaz mahu mengukirkan senyuman, tiba-tiba terdengar satu suara yang sangat Fawwaz kenali. "Hoi form 1! Mari sini..." Fawwaz menoleh dan melihat Abang Khair dan 4 orang lagi rakannya sedang duduk di pintu surau siap berkain pelikat dan berkopiah. Rupa-rupanya mereka baru sahaja selesai kelas mengaji Quran bersama Ustaz Khairul. Dengan langkah yang berat, Fawwaz menuju ke arah mereka. Dalam fikirannya tahu, banyak snek akan habis dan dia perlu cuba lagi minggu depan untuk satu lagi misi mustahil.

Friday, April 04, 2014

Dendam Seterika Baju



Ahad malam Isnin, malam yang ditakuti pelajar-pelajar junior macam Ucop dan Fawwaz. Para senior akan berlegar mencari mangsa untuk menyelesaikan kerja sekolah atau menggosok baju. Siapa yang berani merayau-rayau di koridor pastinya menerima padah. Macam Fawwaz. Hanya disebabkan teringin nak mengepau kek lapis dari dorm atas, dia sanggup keluar dari bilik dan mendedahkan dirinya kepada risiko. Akibatnya? 7 helai uniform sekolah untuk digosok dan 10 muka surat latihan Fizik untuk disiapkan sebelum Subuh esok.



Ucop bila fikir balik memang tergelak mengenang kegelabahan Fawwaz pada malam tu. 'Ini tak adil!' rintih Fawwaz semalaman sementara yang lain enak melayari tidur. Bangak, tu la ikut lagi nafsu perut, kutuk Ucop dalam hati.



Tak semena-mena Ucop rasa nak kencing. Menggelupur dia sarung selipar, memecut ke tandas. Bila dia nak melangkah masuk ke bilik selesai ke tandas, nama Ucop dilaung dari blok sebelah. Celaka! Jerit nurani Ucop.



Ucop memaki-maki dalam hati tatkala Mat Yen menghulur baju untuk digosok. 'Jangan ada double line ah' tutur Mat Yen dengan mata menyorot ganas. Harapan nak tidur awal lenyap begitu saja. Lagi sakit hati melihat Fawwaz enak terbongkang di katil bila dia melangkah masuk ke bilik.



Ucop baru aje menghidupkan seterika bila tersedar Cikgu Tengku sedang memerhati daripada daun pintu. Celaka, berapa lama dia ada kat situ? Senyap pulak tu,jangan nak pose ala Batman la woi, pelbagai monolog berlumba merentasi fikiran Ucop.


'Apasal berjaga lagi?' kata Cikgu Tengku, atau Kurap, nama kod berbau hinaan diberikan oleh penghuni hostel yang anti beliau. 'Nak iron baju...cikgu' gagap Ucop melihat Cikgu Tengku memeluk tubuh, dan pencahayaan koridor memberi mood suram dan ngeri. Cikgu Tengku hanya berdehem perlahan dan mendekati. 'Teruk betul skil iron baju kau ni. Cikgu ajar sekali ni je okey' tiba-tiba pulak dia baik hati.

Ucop diam aje sambil melihat baju Mat Yen digosok Cikgu Tengku, sebelum idea jahat menjelma dalam kepala. 'Terima kasih, Cikgu' lantas Ucop membawa baju siap diseterika tu keluar dorm yang mengundang hairan Cikgu Tengku. 'Kau nak pergi mana pulak?' kening Cikgu Tengku tegak sebelah. Ucop berpusing belakang sambil tersenyum keji, 'Nak pulangkan baju ni kat Abang Mat Yen, dia suruh saya gosok tadi'. Ucop yakin esok Mat Yen akan ada sesi temujanji dengan Penolong Kanan HEM disusuli sesi kaunseling. Itu ubatnya kalau kacau aku nak tido, jerit batin Ucop.

Sunday, March 30, 2014

Qiyam Waktu Malam

"Jangan lupa malam ni. Semua wajib datang! Assalamualaikum wbt." Abang Saiful mengakhiri sesi usrah beliau pada petang itu. Tegas tetapi masih berhemah.

Ucop berasa teruja. Tidak pernah lagi dia Qiyammulail. Dan dia juga baru diberitahu akan pahala orang yang bangun malam. Dia semakin teruja. Malam itu prep malam seperti biasa. Habis prep malam, Ucop bergegas ke kantin untuk sebungkus nasi goreng.

"Ucop, kejut aku tau nanti. Takut tak terbangun pulak. Jarang dapat tidur awal malam Sabtu ni..." kata Fawwaz sambil membetulkan kain pelikatnya. Lantas dia menutup suis lampu dorm dan terus ke katil. Tanpa diketahui mereka, Badan Islamiah (BADAI) telahpun meminta kerjasama pengawas untuk menangguhkan assembly supaya pelajar tingkatan satu dapat turun ke Qiyammullail malam ini.

"Bangun! Bangun! 15 minit semua mesti ada kat surau!" terdengar suara Abang Saiful memecah keheningan asrama Blok D. Pintu dorm diketuk bertalu-talu. Kelihatan beberapa orang pelajar yang tidur dengan memakai baju melayu terus bergegas ke surau.

"Ucop, diorang tak gosok gigi dulu ke?" tanya Fawwaz.

"Takpe, itukan bau wangian di syurga..." jawab Ucop.

"Tu orang berpuasa laaaaa bangang..." tempelak Fawwaz sambil memukul Ucop.

Di dalam surau, Abang Saiful menjelaskan tentang amalan-amalan sunat yang boleh dilakukan ketika Qiyammullail. Dan pada malam itu, mereka akan mulakan dengan solat tahajud seterusnya solat sunat tasbih. Selesai solat tahajud, Abang Saiful terus bangun untuk mengimamkan solat sunat tasbih. Mereka semua tahu solat sunat tasbih akan mengambil masa yang agak panjang kerana setiap rukun solat akan di sertakan dengan bacaan tasbih.

"Usholli sunnatan...." Ucop membaca niat solat sunat tasbih. Dia cuba menghayati bacaan dengan penuh khusyu' dan tawadduk. Tiba-tiba "Bedebukkkkk......" Dengan tindakan refleks, Ucop terus berpaling ke sebelah kanan dan kelihatan Khairi, budak dorm sebelah telah terbaring di lantai surau.

Monday, January 13, 2014

Sam'iyat

Ucop resah. Jam di dinding menunjukkan waktu 10:30 pagi. Bermakna ada setengah jam sahaja lagi sebelum peperiksaan Pendidikan Islam ini tamat. Ustazah Maimun kelihatan sedang duduk di meja guru sambil mengemaskini buku rancangan pembelajaran beliau. Fawwaz kelihatan sudah lama tertidur di mejanya.

"Dah siap ke budak gemuk ni?" Getus hati Ucop.

Tetapi dia cuba untuk tidak berfikir banyak. Masalah yang dihadapi Ucop sekarang lebih besar. Soalan nombor 4, Ucop langsung tidak tahu.

4.1 Berikan maksud Sam'iyat.
4.2 Bagaimana untuk beriman dengan perkara Sam'iyat
4.3 Berikan 4 contoh perkara Sam'iyat

15 markah

Ucop terkedu. Dia memang tiada petunjuk langsung. Nak bertanya Fawwaz, budak gemuk tu lena tidur. Dah tentu Ustazah Maimun yang memang tajam derianya akan perasan nanti. Ucop serba salah. Terbayang nanti keputusan peperiksaannya yang bakal teruk.

"Malu la aku dengan Fazlin...arghhhh!" Ucop bermonolog lagi.

Ucop lantas menekup mukanya ke meja. Dan terlena.

"Pelajar, 5 minit sebelum waktu tamat." 

Ucop terjaga dek suara lantang Ustazah Maimun. Bak deja vu di Kinabalu, Ucop berasakan dia telah mendapat petunjuk ketika dia terlena tadi. Tanpa berlengah, Ucop memacu jari-jemarinya menjawab soalan berkenaan Sam'iyat tadi.

"Masa telah tamat. Saya kutip kertas kamu sekarang." Tenang Ustazah Maimun bersuara.

Ucop menghabiskan ayat terakhirnya di kala Ustazah Maimun melewati meja. Desas-desus dan bisik-bisikan mula kedengaran di sekeliling kelas. Ucop tidak kisah. Dia lantas bangun ke rak buku di belakang dan mencari buku teks Pendidikan Islam. Dicarinya tajuk yang berkaitan.

"Yes! Memang perkara ghaib!!!!" Jerit Ucop tiba-tiba dan seluruh kelas menoleh ke arahnya.