Showing posts with label Mistik. Show all posts
Showing posts with label Mistik. Show all posts

Saturday, September 16, 2017

Ketuk-Ketuk

Angin malam bertiup sejuk. Ditambah pula dengan hujan yang baru berhenti sebelum prep malam habis tadi. Ucop dah bersedia dengan baju tidurnya. Fawwaz di katil sebelah sedang duduk berselubung, macam menggigil.

"Harap je gemuk budak Fawwaz ni. Sejuk sikit je dah gigil." Ucop mengekek di dalam hati.

Tepat 11:30 malam kedengaranlah suara P.O.D (Prefect on Duty) di corong pembesar suara mengumumkan masa untuk light-off. Selaku pelajar tingkatan 1, dorm-dorm di Blok D memang wajib mengikuti peraturan ini untuk mengelakkan denda oleh pelajar senior.

Seperti biasa, hanya light sahaja yang off, tapi makhluk-makhluk di dalam dorm masih lagi ON.

"Apa barang weiii tido awal...tak remaja lah! Esok kan Sabtu..." Zainul bersuara. Ucop malas nak layan. Dia terus tarik selimut. Cuaca sejuk-sejuk ni memang sedap tidur.

Tak sampai 15 minit, tiba-tiba kedengaran keadaan huru-hara di dorm sebelah. Tak lama lepas tu semua 9 orang berlari masuk ke dorm Ucop.


Macam ni lah lebih kurang kelam-kabutnya tu...


"Kenapa kecoh-kecoh ni weh!" Ucop bertanya bengang.

"Kitorang dengar bunyi ketuk-ketuk dari bilik stor sebelah. Semua orang dengar. SERAM wei mana ada siapa-siapa kat situ..." Khalil bersuara, terputus-putus. Takut barangkali. Aziz yang berada di sebelahnya terhincut-hincut. Mungkin terjun dari katil akibat terlalu takut.

Ucop berfikir sejenak. Dorm sebelah adalah dorm yang paling hujung dan sepanjang 15 minit yang lalu dia tak ada dengar bunyi orang lalu menuju ke hujung. Ucop mengerling ke katil sebelah, Fawwaz pucat lesi. "Gemuk, penakut. Hampeh!"

"Eh seram jugak wei. Korang tidur sini lah malam ni." Khamin, ketua dorm Ucop bersuara.

Malam itu, mereka berpakat untuk mengangkat semua tilam ke lantai. Sudahnya, 18 orang tidur dalam satu dorm. Takut punya pasal, esoknya semua lambat pergi surau untuk sembahyang subuh. Dendanya, berus karpet surau!

Sunday, June 17, 2012

Tandas Puaka

Malam itu serba tak kena bagi Fawwaz. Dia mengiring ke kiri tak kena. Dia mengiring pula ke kanan, masih tak kena. Cuaca malam itu agak panas sedikit. Dah lebih seminggu hujan tak turun membasahi Jalan Tenteram ni. Rakan-rakan dorm yang lain semua sudah tidur. Terpancar sekelumit rasa cemburu di hati Fawwaz. Dengkuran Rashdan yang masih belum akil baligh di katil hujung itu jelas kedengaran sedikit sebanyak mengganggu konsentrasi Fawwaz untuk tidur. Ucop di katil sebelah sudah lama lena lengkap berselimut.  

"Tak panas ke si Ucop ni berselubung dengan selimut malam ni?" tanya Fawwaz dalam hati.

Tik...tok...tik...tok...Jam menunjukkan angka 1230 tengah malam. Kawasan dorm pelajar tingkatan 1 memang sudah gelap. Tiada suara kedengaran. Kalau ada pun, gelak tawa dari Dorm Pengawas di tingkat 1. Tiba-tiba, di kala Fawwaz cuba melelapkan mata, perutnya berasa memulas. Dia perlu segera ke tandas. Tapi cerita hantu gosok gigi yang diceritakan oleh Abang Khair semalam masih segar diingatan. Fawwaz cuba untuk menahan dan berusaha untuk melelapkan mata. Sampai satu ketika, Fawwaz terkentut lantas mengeluarkan bau yang sangat busuk sehingga dia pun terasa seperti mahu pengsan.

Fawwaz nekad. Ucop di katil sebelah dikejutkannya. 

"Ucop!Ucop!" panggil Fawwaz sambil menggerakkan badan Ucop sedikit kuat.

"UCOP!" panggil Fawwaz lagi separa menjerit.

Ucop nyata jengkel dengan kejutan Fawwaz menjawab acuh tak acuh, "Apa kau nak malam-malam buta ni Fawwaz? Gi tido laaa...aku tengah mimpi Fazlin ni..."

"Ucop, teman aku gi toilet kejap. Takutlah..." pujuk Fawwaz

"Kau nak takut apa malam-malam ni?" tanya Ucop buat-buat berani

"Alahh...aku takutla kalau hantu gosok gigi yang Abang Khair cerita tu keluar" ujar Fawwaz

"Mana ada hantu. Takut sangat kau ni! malas aku nak teman kau..." Ucop menjawab tegas

"Alaaa Ucop, kalau kau tidur balik pun bukannya Fazlin tu datang balik. Baik kau buat pahala teman kawan kau ni nak pergi toilet. Ada jugak faedahnya" semangat Fawwaz berhujah umpama Presiden PPI.

"Yelah...yelah" dengus Ucop

Fawwaz dengan pantas mencapai tuala dan baldinya. Dia terus keluar dorm dan melangkah ke tandas. Ucop menurut Fawwaz dari belakang.

"Ucop, aku masuk dalam kau tunggu kat luar ye? Kita borak-borak la supaya tak sunyi." cadang Fawwaz

"Hmm...." jawab Ucop lagi acuh tak acuh

Fawwaz lantas masuk ke kamar kecil dan mula menjalankan urusan perniagaannya.

"Kau mimpi apa tadi Ucop?" tanya Fawwaz membuka bicara

"Alaaa...takde apa-apa laa. Aku mimpi Fazlin tengah ajar aku Sains je. Kau lah kacau!" Ucop masih tak puas hati

"Ala Ucop, sorry la..Aku betul-betul tak tahan nak pergi toilet." Fawwaz cuba memujuk Ucop untuk memaafkannya

Tiba-tiba,,, *KLIK*

Fawwaz tidak nampak apa-apa. Keadaannya gelap-gelita. Dia kaget.

"DAH KE BELUMMM???" terdengar suara garau dari luar

Fawwaz semakin kaget. Tanpa berfikir panjang dia terus mencapai gayung dan kain tualanya. Pintu kamar kecil dibukanya dan dia terus melompat keluar.

"HAHAHAHAHAHAHA!!!!" gelak Ucop di luar tandas.

Fawwaz berdiri di depan pintu dengan gayung di tangan dan tuala di bahu. Dia tak memakai seluar! Dalam suasana yang kelam-kabut dan panik tadi Fawwaz terlupa untuk menyarung seluar ataupun sekurang-kurangnya memakai tuala.

*KEBUSHHHHH* Fawwaz menyimbah air yang penuh di dalam gayung kepada Ucop, puas hati...