Sunday, March 30, 2014

Qiyam Waktu Malam

"Jangan lupa malam ni. Semua wajib datang! Assalamualaikum wbt." Abang Saiful mengakhiri sesi usrah beliau pada petang itu. Tegas tetapi masih berhemah.

Ucop berasa teruja. Tidak pernah lagi dia Qiyammulail. Dan dia juga baru diberitahu akan pahala orang yang bangun malam. Dia semakin teruja. Malam itu prep malam seperti biasa. Habis prep malam, Ucop bergegas ke kantin untuk sebungkus nasi goreng.

"Ucop, kejut aku tau nanti. Takut tak terbangun pulak. Jarang dapat tidur awal malam Sabtu ni..." kata Fawwaz sambil membetulkan kain pelikatnya. Lantas dia menutup suis lampu dorm dan terus ke katil. Tanpa diketahui mereka, Badan Islamiah (BADAI) telahpun meminta kerjasama pengawas untuk menangguhkan assembly supaya pelajar tingkatan satu dapat turun ke Qiyammullail malam ini.

"Bangun! Bangun! 15 minit semua mesti ada kat surau!" terdengar suara Abang Saiful memecah keheningan asrama Blok D. Pintu dorm diketuk bertalu-talu. Kelihatan beberapa orang pelajar yang tidur dengan memakai baju melayu terus bergegas ke surau.

"Ucop, diorang tak gosok gigi dulu ke?" tanya Fawwaz.

"Takpe, itukan bau wangian di syurga..." jawab Ucop.

"Tu orang berpuasa laaaaa bangang..." tempelak Fawwaz sambil memukul Ucop.

Di dalam surau, Abang Saiful menjelaskan tentang amalan-amalan sunat yang boleh dilakukan ketika Qiyammullail. Dan pada malam itu, mereka akan mulakan dengan solat tahajud seterusnya solat sunat tasbih. Selesai solat tahajud, Abang Saiful terus bangun untuk mengimamkan solat sunat tasbih. Mereka semua tahu solat sunat tasbih akan mengambil masa yang agak panjang kerana setiap rukun solat akan di sertakan dengan bacaan tasbih.

"Usholli sunnatan...." Ucop membaca niat solat sunat tasbih. Dia cuba menghayati bacaan dengan penuh khusyu' dan tawadduk. Tiba-tiba "Bedebukkkkk......" Dengan tindakan refleks, Ucop terus berpaling ke sebelah kanan dan kelihatan Khairi, budak dorm sebelah telah terbaring di lantai surau.