Showing posts with label Dorm. Show all posts
Showing posts with label Dorm. Show all posts

Monday, January 26, 2015

Sharing is Caring

Jam menunjukkan pukul 11:30 malam. Tinggal 30 minit lagi sebelum light-off. Di dorm D3.2 kelihatan Ucop, Adib, Zainol, dan Bahar sedang resah menunggu. "Mana Fawwaz ni?" Adib bersuara. "Entahnya...lama betul. Dasar budak gemuk." Bahar pula bersuara seakan-akan tidak berpuas hati.

Tidak lama kemudian, Fawwaz muncul di muka pintu sambil membawa baldi berisi separuh air. "Sorry geng, aku nature-call tadi...hehehe" kata Fawwaz sambil tersenyum. "Eeeeuwwwwwwww!" Ucop, Adib, Zainol, dan Bahar serentak bersuara. 

"Zainol, kau pergi tukar air dalam baldi tu. Pengotor betul budak Fawwaz ni. Kita kesuntukan masa ni. Tak boleh di harap betul!" Ucop mengeluarkan arahan. Zainol tanpa membuang masa terus mengambil baldi dari tangan Fawwaz dan terus menuju ke tandas. Selang 3 minit, Zainol kembali bersama baldi berisi air.

"Semua dah ready?" tanya Ucop dan disambut oleh anggukan dari rakan-rakannya. Adib dan Bahar bergerak menuju ke locker masing-masing dan kembali berkumpul di baldi dengan sesuatu di tangan mereka. Adib bersama gegelung pemanas air dan Bahar bersama 5 bungkus Mi Maggi. 

"Tonight, we dine in BALDI!!!!" jerit Ucop.

Friday, April 04, 2014

Dendam Seterika Baju



Ahad malam Isnin, malam yang ditakuti pelajar-pelajar junior macam Ucop dan Fawwaz. Para senior akan berlegar mencari mangsa untuk menyelesaikan kerja sekolah atau menggosok baju. Siapa yang berani merayau-rayau di koridor pastinya menerima padah. Macam Fawwaz. Hanya disebabkan teringin nak mengepau kek lapis dari dorm atas, dia sanggup keluar dari bilik dan mendedahkan dirinya kepada risiko. Akibatnya? 7 helai uniform sekolah untuk digosok dan 10 muka surat latihan Fizik untuk disiapkan sebelum Subuh esok.



Ucop bila fikir balik memang tergelak mengenang kegelabahan Fawwaz pada malam tu. 'Ini tak adil!' rintih Fawwaz semalaman sementara yang lain enak melayari tidur. Bangak, tu la ikut lagi nafsu perut, kutuk Ucop dalam hati.



Tak semena-mena Ucop rasa nak kencing. Menggelupur dia sarung selipar, memecut ke tandas. Bila dia nak melangkah masuk ke bilik selesai ke tandas, nama Ucop dilaung dari blok sebelah. Celaka! Jerit nurani Ucop.



Ucop memaki-maki dalam hati tatkala Mat Yen menghulur baju untuk digosok. 'Jangan ada double line ah' tutur Mat Yen dengan mata menyorot ganas. Harapan nak tidur awal lenyap begitu saja. Lagi sakit hati melihat Fawwaz enak terbongkang di katil bila dia melangkah masuk ke bilik.



Ucop baru aje menghidupkan seterika bila tersedar Cikgu Tengku sedang memerhati daripada daun pintu. Celaka, berapa lama dia ada kat situ? Senyap pulak tu,jangan nak pose ala Batman la woi, pelbagai monolog berlumba merentasi fikiran Ucop.


'Apasal berjaga lagi?' kata Cikgu Tengku, atau Kurap, nama kod berbau hinaan diberikan oleh penghuni hostel yang anti beliau. 'Nak iron baju...cikgu' gagap Ucop melihat Cikgu Tengku memeluk tubuh, dan pencahayaan koridor memberi mood suram dan ngeri. Cikgu Tengku hanya berdehem perlahan dan mendekati. 'Teruk betul skil iron baju kau ni. Cikgu ajar sekali ni je okey' tiba-tiba pulak dia baik hati.

Ucop diam aje sambil melihat baju Mat Yen digosok Cikgu Tengku, sebelum idea jahat menjelma dalam kepala. 'Terima kasih, Cikgu' lantas Ucop membawa baju siap diseterika tu keluar dorm yang mengundang hairan Cikgu Tengku. 'Kau nak pergi mana pulak?' kening Cikgu Tengku tegak sebelah. Ucop berpusing belakang sambil tersenyum keji, 'Nak pulangkan baju ni kat Abang Mat Yen, dia suruh saya gosok tadi'. Ucop yakin esok Mat Yen akan ada sesi temujanji dengan Penolong Kanan HEM disusuli sesi kaunseling. Itu ubatnya kalau kacau aku nak tido, jerit batin Ucop.

Thursday, October 03, 2013

Naik Motor

Fawwaz cemas. Maghrib tadi dia tertidur di surau semasa zikir. Dalam keadaan separuh sedar dia terlentok ke dinding surau dan Abang Johan ternampak perbuatan itu. Kelihatan Abang Johan menjeling ke arah Fawwaz. Memang sudah menjadi rule of thumb hanya pelajar senior sahaja boleh menikmati keselesaan dinding surau.

Fawwaz protes di dalam hati. "Dinding surau ni kan milik semua orang. Kenapa senior je boleh sandar? Nanti mati sama-sama masuk kubur jugak!"

Fawwaz pergi ke prep malam seperti biasa. Jiwanya masih tidak tenang mengingatkan jelingan Abang Johan selepas Maghrib tadi. Fawwaz bertambah jengkel melihat Ucop gembira tidak tentu hala.

"Dapat request dari kakak angkat la tu" ngomel Fawwaz.

Prep malam sudah tamat. Kebanyakan pelajar meluru ke kantin untuk membeli nasi lemak atau nasi goreng. Skim membesarkan badan bak kata sesetengah mereka. Fawwaz berjalan longlai pulang ke asrama. Masih terbayang-bayang jelingan Abang Johan.

Sampai di dorm, Fawwaz terus menukar pakaian dan bersedia untuk tidur. Memang sudah menjadi kelaziman pelajar form 1 untuk tidur awal. Ini untuk mengelakkan daripada dipanggil pelajar-pelajar senior. Sedang Fawwaz sudah hampir merebahkan badan ke katil kedengaran suara Zainul seperti bergegas.

"Fawwaz, Abang Johan panggil kau datang dorm dia. Sekarang!" Zainul lantas berlalu pergi.

Fawwaz menelan air liur pahit. Ketakutan dan kebimbangannya sudah menjadi kenyataan. Dorm Abang Fawwaz di blok sebelah. Satu perjalanan yang "panjang" bagi pelajar junior. Fawwaz berat kaki melangkah ke dorm Abang Johan.

"Habislah aku malam ni..." kata hati kecil Fawwaz.

Sesampai sahaja Fawwaz, kelihatan Abang Johan sedang baring di katil. Fawwaz lantas memberi salam.

"Hah, tutup lampu tu..." Johan bersuara tanpa menjawab salam yang Fawwaz berikan.

Fawwaz bertambah gusar. Suis lampu dorm dicapainya dan dorm serta-merta menjadi gelap dan menyuramkan.

"Kau tau tak kenapa aku panggil kau malam ni?" Johan memecah keheningan.

"Tak tau Abang Johan." jawab Fawwaz walaupun dia dapat mengagak sebab Johan memanggilnya.

"Aku nampak kau selamba je sandar kt surau td. Dah rasa besar ke?" soal Johan serius.

"Saya terlelap tadi Bang..."jawab Fawwaz.

"Banyak pulak alasan kau. Dah...sekarang sebab kau dah langgar peraturan aku nak kau buat superbike." arah Johan.

Fawwaz memang memahami istilah "superbike" lantas dia membengkokkan lutut umpama menunggang motorsikal dan kedua-dua belah tangannya diangkat kehadapan.

"Nasib baik bukan Syafiq yang nampak. Kalau tidak lagi nahas kau. Kau buat superbike sampai aku tidur." Johan lantas mengambil novel Lagenda Budak Setan dan terus sambung membacanya. Sementara itu Fawwaz kekal di posisi menunggang motorsikalnya. Dia tahu esok dia akan berjalan kengkang.


Monday, July 23, 2012

Jangan curi!

Fawwaz belajar perkara penting bila hidup di asrama. Hidup biar zuhud. Terutamanya kalau pakai selipar ke surau. Ni adalah selipar dia yang ke 10 hilang dalam masa 5 bulan dia berada kat sekolah ni. Mulai petang ni, dia menggunakan taktik terbaru untuk ke surau. Tak bergaya pun takpe, daripada terkial-kial lepas solat nak cari selipar dia. Takpe la sekurang-kurangnya dia tak mencuri selipar orang lain, bukan macam Acit minggu lepas. Ada ke pergi rembat selipar Pengetua, memang mendapat la lepas tu, kekeh Fawwaz sorang-sorang sambil turun ke surau. Kali ni dia yakin takde siapa berani curi selipar dia, sebab dia dah tulis 'INI HAK MILIK TUAN HAJI OMAR'. Pandai betul dia jual nama warden paling brutal kat hostel ni.


Sunday, June 17, 2012

Tandas Puaka

Malam itu serba tak kena bagi Fawwaz. Dia mengiring ke kiri tak kena. Dia mengiring pula ke kanan, masih tak kena. Cuaca malam itu agak panas sedikit. Dah lebih seminggu hujan tak turun membasahi Jalan Tenteram ni. Rakan-rakan dorm yang lain semua sudah tidur. Terpancar sekelumit rasa cemburu di hati Fawwaz. Dengkuran Rashdan yang masih belum akil baligh di katil hujung itu jelas kedengaran sedikit sebanyak mengganggu konsentrasi Fawwaz untuk tidur. Ucop di katil sebelah sudah lama lena lengkap berselimut.  

"Tak panas ke si Ucop ni berselubung dengan selimut malam ni?" tanya Fawwaz dalam hati.

Tik...tok...tik...tok...Jam menunjukkan angka 1230 tengah malam. Kawasan dorm pelajar tingkatan 1 memang sudah gelap. Tiada suara kedengaran. Kalau ada pun, gelak tawa dari Dorm Pengawas di tingkat 1. Tiba-tiba, di kala Fawwaz cuba melelapkan mata, perutnya berasa memulas. Dia perlu segera ke tandas. Tapi cerita hantu gosok gigi yang diceritakan oleh Abang Khair semalam masih segar diingatan. Fawwaz cuba untuk menahan dan berusaha untuk melelapkan mata. Sampai satu ketika, Fawwaz terkentut lantas mengeluarkan bau yang sangat busuk sehingga dia pun terasa seperti mahu pengsan.

Fawwaz nekad. Ucop di katil sebelah dikejutkannya. 

"Ucop!Ucop!" panggil Fawwaz sambil menggerakkan badan Ucop sedikit kuat.

"UCOP!" panggil Fawwaz lagi separa menjerit.

Ucop nyata jengkel dengan kejutan Fawwaz menjawab acuh tak acuh, "Apa kau nak malam-malam buta ni Fawwaz? Gi tido laaa...aku tengah mimpi Fazlin ni..."

"Ucop, teman aku gi toilet kejap. Takutlah..." pujuk Fawwaz

"Kau nak takut apa malam-malam ni?" tanya Ucop buat-buat berani

"Alahh...aku takutla kalau hantu gosok gigi yang Abang Khair cerita tu keluar" ujar Fawwaz

"Mana ada hantu. Takut sangat kau ni! malas aku nak teman kau..." Ucop menjawab tegas

"Alaaa Ucop, kalau kau tidur balik pun bukannya Fazlin tu datang balik. Baik kau buat pahala teman kawan kau ni nak pergi toilet. Ada jugak faedahnya" semangat Fawwaz berhujah umpama Presiden PPI.

"Yelah...yelah" dengus Ucop

Fawwaz dengan pantas mencapai tuala dan baldinya. Dia terus keluar dorm dan melangkah ke tandas. Ucop menurut Fawwaz dari belakang.

"Ucop, aku masuk dalam kau tunggu kat luar ye? Kita borak-borak la supaya tak sunyi." cadang Fawwaz

"Hmm...." jawab Ucop lagi acuh tak acuh

Fawwaz lantas masuk ke kamar kecil dan mula menjalankan urusan perniagaannya.

"Kau mimpi apa tadi Ucop?" tanya Fawwaz membuka bicara

"Alaaa...takde apa-apa laa. Aku mimpi Fazlin tengah ajar aku Sains je. Kau lah kacau!" Ucop masih tak puas hati

"Ala Ucop, sorry la..Aku betul-betul tak tahan nak pergi toilet." Fawwaz cuba memujuk Ucop untuk memaafkannya

Tiba-tiba,,, *KLIK*

Fawwaz tidak nampak apa-apa. Keadaannya gelap-gelita. Dia kaget.

"DAH KE BELUMMM???" terdengar suara garau dari luar

Fawwaz semakin kaget. Tanpa berfikir panjang dia terus mencapai gayung dan kain tualanya. Pintu kamar kecil dibukanya dan dia terus melompat keluar.

"HAHAHAHAHAHAHA!!!!" gelak Ucop di luar tandas.

Fawwaz berdiri di depan pintu dengan gayung di tangan dan tuala di bahu. Dia tak memakai seluar! Dalam suasana yang kelam-kabut dan panik tadi Fawwaz terlupa untuk menyarung seluar ataupun sekurang-kurangnya memakai tuala.

*KEBUSHHHHH* Fawwaz menyimbah air yang penuh di dalam gayung kepada Ucop, puas hati...

Saturday, June 16, 2012

Teh O kaw


Prep malam tu Ucop rasa letih sangat. Berapa kali dah sejak prep malam mula pada 8.00 dia asyik tersengguk-sengguk di meja. Latihan Geografi entah ke mana pergi, bersepah-sepah tulisan tanda dia memang separuh sedar nak siapkan kerja. Ini semua training ragbi la tadi ni, keluh Ucop sambil lap muka bila Fawwaz tanya kenapa dia macam tak fokus.

Ucop cuba ke tandas, jalan terhuyung-hayang hampir melanggar meja Fazlin yang terletak dekat pintu. " Ei bongok tau kau ni, mata letak mana!" jeritan nada tinggi Fazlin menggegar gegendang telinga Ucop. Malas dah nak cakap maaf, dalam kepala Ucop dia nak basuh muka dan lepak kejap depan kolam Taman Sains. Penat gila sial, bebel Ucop sorang-sorang.

Ucop ambil keputusan untuk tidur saja kat meja sampai habis prep. Melampau betul ni. Nasib baik prep berbaki lagi setengah jam, jadi Cikgu Samsudin takkan meronda blok akademik untuk merotan budak-budak nakal tuang prep. Cukup masa Ucop kemas barang dan paksa diri pulang ke bilik. Dalam kepala dia hanya  nak tidur. Isyak ke mana, gosok gigi pun entah ke mana. Dia baru je nak melangkah tangga naik ke bilik tiba-tiba terdengar namanya dipanggil dengan nada paling biadab. Ah celaka, Arshad nak apa ni, bisik Ucop.

Arshad berdiri di balkoni memegang botol kosong. "Oi Ucop, tolong aku amik teh o kat dewan makan!" laung Arshad melayangkan sebuah botol kosong untuk disambut Ucop. Nama je tolong tapi lebih kepada arahan. Ingkar bererti Ucop akan tidur dengan perut yang senak. Ucop jadi sakit hati, sudahlah mengantuk lepas tu kena pegi isikan air untuk Arshad pulak. Babi! Maki Ucop bertalu-talu.

Dewan Makan masih penuh. Pelajar lelaki dan perempuan masih melepak menikmati milo panas (yang cair, mengikut standard mamak) bertemankan karipap kentang. Ucop tiada selera malam tu. Katil! Katil! Katil! Jeritan batin Ucop bergema dalam jiwa Ucop. Tangkas dia mengisi botol kosong dengan Teh o di tong minuman ketiga. Usai penuh botol, cepat-cepat Ucop melangkah keluar dari Dewan Makan. dan ambil shortcut untuk ke bilik Arshad. Apabila Ucop melintasi tandas tingkat bawah, akal jahat berbisik kepada Ucop.

'Abang, nah Teh O. Saya letak kat loker abang ye' lembut Ucop bersuara dengan pantas dia letak botol tu dan terus blah ke bilik dia, tersengih. Arshad tengah sibuk meniru kerja rumah Fizik bingkas bangun menuju ke loker dan mengelek botol Teh O ke birai katil. "Peh, layan sial minum teh sambil buat homework, eh aku tiru bukan buat sebenarnya' lantas mengekek gelak terhadap jenaka sendiri.

Ucop pun berderai gelak di biliknya sampai menekup bantal ke muka untuk cover ketawa dia yang tersedu-sedu macam badak beranak. Bodoh Arshad, rasa aku punya Teh O kencing! Sedap tak kahkah! Ucop membetulkan kedudukan penisnya lantas menarik selimut untuk tidur.


Wednesday, June 06, 2012

Tragedi Bilik Basuh

Malam tu, malam Sabtu. Prep malam memang tiada di hujung minggu. Kebanyakan pelajar menjalani aktiviti bebas selepas waktu Isyak tak kiralah membasuh baju ke, diskusi keagamaan di belakang surau, melahap nasi goreng di kantin (hanya berharga 70 sen, lazat!), termasuk berlari-lari bebas memanjat pagar menuju kebebasan dunia luar (juga dikenali sebagai fly). Ucop, hanyalah berusia 14 tahun waktu itu, yang dia tahu hanya belajar, belajar dan belajar. Tiada istilah serong dari tujuan asal dia datang ke sekolah berasrama penuh tu sekalipun di hujung tahun yang sama dia mula mengenali nikmat fly ke cyber cafe untuk bermain CS dan menonton porno.

Ucop selepas waktu Isyak, bersiap-siap turun ke kampus akademik dengan berpakaian baju Melayu dan berseluar slack beserta kopiah putih. Niatnya cuma satu, tugasan sains Cikgu Mazwin mesti disiapkan malam tu jugak beserta membuat latihan Matematik, sebab ujian bulanan terbaru dia hampir terjerumus ke gred C. Ucop malu. Ucop mesti tebus kembali maruahnya. Dia nak menyaingi Sarah, budak pandai dalam kelas beliau. Mana tahu Sarah mula bagi perhatian kat dia pulak, bonus okay!

"Coppp! Pegi mana?" jerit sekumpulan budak berpakaian sukan kepada Ucop yang tengah menuruni tangga tonggek (dikenali dengan nama sebegitu kerana kadar kecuramannya menjadikan sesiapa yang menaiki dan menuruni sedikit menongkat punggung, justeru tonggek). Ucop berpusing menghadap suara tersebut, "Ahh abang Khalid, abang Fariz, abang Acap, saya nak pergi kelas buat kerja sekolah la" sambil menguntum senyuman kepada kumpulan pelajar senior tingkatan 4 itu. "Ala Ucop jom lah main badminton seround dua, karang-karang buatlah kerja tu" tukas Fariz yang juga dikenali sebagai Wok, lantaran nama neneknya yang aneh lantas menjadi bahan cercaan kawan-kawan sebaya. 'Sori la bang, next week boleh? Kerja banyak sangat lah", tolak Ucop dengan sopan. Silap gaya boleh kena settle kalau tone suara macam biadap. Di sini, semuanya kena hormat. Jangan nak tunjuk hardcore, kelak memang selalu kena hukum, walaupun tak beri salam.

Kelas kosong, barangkali ramai yang pergi menonton filem bootleg di bilik Telesidang di bawah. Malam tu Cikgu Rahmat tayang filem The Crow, pakai VCD cinema copy lepas itu mengenakan bayaran RM2, jadi mungkin ramai yang berhimpit tengok dekat bilik tu. Ucop duduk dan membuka buku latihan dan mula menulis.Sains tingkatan dua sangat memberi tekanan. Ucop selalu berangan untuk cepat-cepat naik tingkatan tiga supaya dia boleh terus belajar tentang bab 1 Sains tingkatan tiga. Terlalu banyak misteri yang mengelilingi chapter tu, kena pula diajar oleh Puan Zaleha yang berdada besar dan seksi..."Ucop!" lamunannya mati dengan tiba-tiba oleh jeritan Fawwaz. "Apa?" pendek balasan Ucop, marah sebab fantasinya melayang tak pasal-pasal. "Abang Acad panggil kau, katanya ada menda penting", beritahu Fawwaz sambil membetulkan cermin matanya. Ucop mengeluh, ni mesti tak suruh ambik air kat water cooler, mesti suruh buatkan homework fizik. Dia tau sangat perangai pemalas si Arshad tu.

"Kau cakap la dengan dia aku ada kerja la" balas Ucop lepas lama berfikir. Fawwaz jadi sikit baran, nak relay mesej ke sana sini bukan kerja yang seronok! Lagi pulak nak naik tangga tonggek tu, "Wei aku penat la nak ulang alik, kau naik la cakap sendiri" lantas terus berpusing keluar dari kelas. Babi! Maki Ucop dalam hati. Dengan hati yang berat dia mengemas barang dan menutup lampu serta kipas dan menuju semula ke hostel. Waktu minum malam dah hampir, Ucop agak mesti Arshad suruh dia ambil sepinggan kuih dengan sejag Milo. Lepas perlahan-lahan mengelak melalui zon larangan antara blok A dan B, Ucop akhirnya tiba di bilik Arshad.

"Abang panggil?" tegur Ucop. Arshad sedang baring di atas katil sambil mendengar walkman. Kelihatan cover kaset Cradle of Filth bertaburan di sebelahnya."Ucop, tolong aku okay?" bunyi macam meminta pertolongan tapi hakikatnya lebih kepada arahan. Ucop mendengus perlahan, "okay, apa dia?". Arshad menunjukkan sehelai uniform sekolah tergantung di tepi tingkap. Ucop faham dah, suruh basuhlah tu. "Nah tangkap!" Arshad lemparkan sebuku sabun basuh. Ucop letakkan buku dan tukar baju lantas menuju ke bilik membasuh. Dalam hatinya memaki hamun Arshad. Baju sehelai pun kau tak nak basuh! Pemalas! Sial! Badan penuh panau! Aku doakan kau fail SPM! Begitulah yang selalu didoakan oleh budak junior kalau dibuli oleh senior yang bad ass.

Bilik membasuh lengang. Hairan tapi mungkin semua pergi minum dekat dewan makan kot. Ucop mula membasahkan uniform Arshad yang berdaki dan masam tu. Sial ni tak reti bersihkan badan ke, tanya Ucop sorang-sorang. Baru saja dia nak tenyeh sabun dan mula memberus, satu idea jahat timbul. Ucop londehkan seluar dan terseringai puas. Lepas tu Ucop kasi kibas sikit lebih kurang terus bawak balik bilik Acad terus jemurkan kat tingkap. Arshad si bangang pulak sibuk layan Cradle of Filth dan tak peduli nak periksa baju dia tu.


Hari Isnin, waktu pengetua tengah berucap, Ucop usha Acad dekat line student form 5 sana. Kelihatan Acad asyik tergaru-garu tak tentu hala. Ucop senyum dan berkata dalam hati, beracun jugak kencing aku ni. Sejak daripada tu, Acad tak kacau lagi Ucop.



Tuesday, June 05, 2012

Hari Jumaat Lepas Sekolah

KRINGGGGGGG! Loceng berbunyi awal di hari Jumaat kerana pelajar putera perlu ke Masjid Saidina Osman untuk bersolat. Yang pergi awal bolehlah naik bas. Yang lambat pula perlulah memilih untuk berjalan kaki atau menahan kereta yang lalu-lalang. Bagi segelintir pelajar senior, inilah  masanya untuk melencong. Padahal bukan tak cukup waktu fly yang telah diperuntukkan oleh para warden. "Thrill" katanya jika melencong ketika sembahyang Jumaat. Darah muda.

Berbeza pula dengan Yazid. Dia bergegas lari ke asrama. Tangga tonggek itu dilalui Yazid umpama meluncur di atas angin. Ramai juga yang tertanya-tanya kerana kebanyakkan pelajar semua bergegas menghala ke pintu pagar untuk berebut menaiki bas.

"Gi mana Yazid?" tanya Bahar kebetulan berselisih di tangga asrama
"Balik dorm kejap. Ada hal." jawab Yazid ringkas.

Yazid terus memanjat tangga menuju ke dormnya di tingkat 3. "Lambatnya nak sampai..." bisik hati Yazid. Arakian tiba di dorm, Yazid terus menanggalkan songkok, sampin dan seluar baju melayu serta mencapai tuala  dan baldi. Yazid terus bergegas ke tandas. Sampai sahaja di tandas....

"Ahhhhh....leganya....." itulah perkataan yang keluar dari mulut Yazid separa kuat. Dalam 5 minit kemudian urusan perniagaan Yazid sudah selesai dan dia harus cepat turun ke pagar untuk mengejar bas terakhir ke masjid. Dia malas berjalan kerana cuaca sekarang panas terik. Yazid lantas memutar pili air...

"TIDAKKKKKKKKKKKKKKK!!!" jerit Yazid kerana pili air kering.

Bila malam tu Ahad malam Isnin dan senior berlegar-legar mencari junior untuk disuruh gosok baju


Kredit imej gif: Google la apa lagik kahkah.

Mercun Bola

Jarum jam menunjukkan pukul 12.30 tengah malam. Sepatutnya sudah light-off tetapi di dorm yang menempatkan pelajar senior, satu lampu pasti masih ON. Itu wajib. Yazid baru sahaja ingin menelaah matapelajaran fizik. Cikgu Jusoh siang tadi ada memberikan soalan latih tubi dan mahu dibincang esok. Yazid ketika prep malam sibuk berborak dengan Jasmin, membincangkan masa depan yang masih belum pasti sehingga terlupa homework Cikgu Jusoh. Cikgu Jusoh sememangnya terkenal dengan kegarangan beliau. Rotan 2 kaki panjang yang selalu dibawanya ke kelas sudah pun menghinggapi ramai mangsa. Bayangan rotan Cikgu Jusoh membuatkan Yazid semakin bersemangat untuk menyiapkan latih tubi tersebut.

"Soalan objektif je ni. Sekejap boleh siap. Paling teruk pun aku tembak aje la." kata Yazid separa kuat.

Malam itu agak hening. Unggas pun tidak kedengaran. Yazid lantas menekan punat PLAY di radio kecil pemberian kakak angkatnya dahulu, Rosmah. Kedengaranlah lagu Simple Plan dari corong radio tersebut. "Apa barang heavy metal. Pop punk la baru layan" cetus hati Yazid sambil cuba menyebut bait-bait lirik dengan  sebutan inggeris ala-ala jawa Batu Pahat.

Sedang Yazid asyik melayan lagu Simple Plan tiba-tiba.... BANGGGGGGG!!!!! Bunyi letupan mercun bola memecah keheningan malam. Yazid tersentak hinggakan punggungnya terangkat sedikit dari kerusi. "Lahanat mana la main mercun bola malam-malam ni?" rungut Yazid. Tapi dia yakin, yang hanya berani meletupkan mercun di malam hari ini sudah pastinya pelajar Form 5 juga. Yazid malas ambil kisah sebab mereka satu batch.

Tidak lama kemudian Yazid terdengar keadaan riuh rendah menuju ke dormnya. Tiba-tiba Mat Yong muncul di pintu dorm Yazid dengan baju serba hitam. "Baru balik fly la tu" kata hati Yazid.

"Yazid, ko dengar tak bunyi mercun tadi?" tanya Mat Yong dengan nada geram
"Dengar. Kenapa?"
"Ko tau tak sape yang bakar mercun tu?!" semakin geram nada suara Mat Yong
"Mana aku tau dowh...aku tak jenguk pun keluar" balas Yazid, malas hendak melayan Mat Yong yang gempal
"Aku menyirap betol la dengan budak form 3 tu. Aku tengah belajar tadi sampai terkejut aku. Aku terus lupa nak tiru yang mana!" Mat Yong semakin marah

Tiba-tiba Bahar, Udin dan Kamil muncul di muka pintu sambil tangan mereka menarik Farhan yang juga dikenali sebagai Mat Kasut dikalangan pelajar senior.

"Yazid, aku nak pinjam dorm kau. Kasut lahanat ni pergi bakar mercun tengah malam. Terus aku tak jadi gayut dengan si Melur!" ujar Bahar. Dia memang marah.
"Aku nak setel si Kasut ni kat dorm kau boleh tak Yazid?" tanya Kamil pula tak sabar
"Kau pun mesti nak join setel budak ni jugak kan? Ko sedang belajar mesti terganggu punya sebab si Kasut ni bakar mercun!" Udin cuba menyemarakkan lagi api Yazid yang malap itu.

Tidak sampai 5 minit, sudah ada hampir 15 orang di dalam dorm Yazid. Hanif, Anuar, Leman, Awang dan Johan yang tidak tahu apa-apa pun ingin tumpang sekaki dalam sesi setel ni. Peluang yang jarang datang lebih-lebih lagi sekarang ini dorm sudah diasingkan mengikut form. Farhan hanya diam kaku berdiri ala-ala menunggang motor. Dia tahu apa yang bakal dihadapinya. Seorang junior dikerumuni oleh berbelas senior, hanya ada satu kesudahan...KESAKITAN!

"Kau tau tak kenapa kau kat sini?" tanya Mat Yong kepada Farhan
"Tau bang. Sebab..." PANGGG! Kamil menampar muka Farhan
"Aku tampar kau sebab kau tak reti bagi salam. Terus jawab je." ujar Kamil selamba
"Assalamualaikum bang. Saya tahu kenapa...." PANGGGG! Kali ini Leman pula menampar Farhan
"Jadah kau! Mana ada kumbang kat sini!" Leman separuh menjerit. Jerit yang dibuat-buat konon marah.
Farhan terus terpinga-pinga dek penampar Kamil dan Leman.
"Jawab laa soalan aku tadi!!!" jerit Mat Yong
"Soalan apa bang?" tanya Farhan, ternyata masih terpinga-pinga, Mungkin berdesing telinganya masih belum hilang
PANGGG!!! Kali ini penampar Bahar pula hinggap di pipi Farhan.
"Mat Yong tanya kau tadi. Kau tau tak kenapa kau kat sini?!" jerit Bahar
"Assalamualaikum abang-abang. Saya kat sini sebab saya bakar mercun bola." jawab Farhan berhati-hati tak mahu dilempang lagi. Tapi Farhan tidak tahu, setiap jawapannya sudah pasti akan salah dan akan berakhir dengan KESAKITAN.

"Yazid, kau dengar tak dia cakap tu? Aku hormat kau sebagai ketua, so aku nak kau mula dulu. Kita kasi setel si Kasut ni!" ujar Mat Yong bersungguh, sampai ternampak lemaknya berombak-ombak. Yazid serba salah. Kalau ikutkan hati dia tak marah pun pasal mercun tu. Memang dia terkejut tapi dia tak kisah. Tapi, kalau tak diikutkan permintaan Mat Yong ni, semakin lama Farhan akan disuruh berdiri ala-ala menunggang motor. Yazid telah membuat keputusan. Dia bangun dari kerusi belajarnya dan melangkah ke arah Farhan yang sedang menunggang motor. Dikepalkan tangannya, sikunya dibengkokkan sedikit, dan lengannya ditarik kebelakang. BUKKKKK! Satu tumbukan padu melekat di perut Farhan.

"CHARGE!!!!" jerit si Leman umpama pahlawan viking ketika berperang. Berbelas-belas orang melepaskan tumbukan dan tendangan ke atas Farhan. Satu peraturan emas: Jangan Sentuh Bahagian Muka! Farhan semakin lemah. Yazid hanya memerhati dari katilnya. Mungkin tangannya kesakitan kerana Farhan mempunyai abdomen yang keras hasil latihan silat kuntau. Tiba-tiba si Awang yang gemuk dan pendek dilihat cuba melepaskan tendangan ala-ala kungfu. Sasaran Awang: dada Farhan. Tapi apakan daya, graviti lebih berkuasa. Badan Awang  yang berat itu ditarik ke bawah oleh graviti mengakibatkan kakinya tidak dapat diangkat tinggi. Sepakan Awang tersasar lalu terkena alat sulit Farhan.

"ADOIIIII!!!! K**ek aku!!!!" jerit Farhan senak

Semua berhenti sejenak dan membiarkan Farhan berguling-guling di lantai dorm. Seklip mata suasana menjadi senyap dan dorm Yazid menjadi kosong. Bahar tiba-tiba muncul membawa sebotol minyak lantas diberikan kepada Farhan.

"Nah, sapu sendiri kat tempat yang sakit" ujar Bahar separa takut lantas meninggalkan dorm Yazid.

Segala-galanya begitu pantas. Yazid keseorangan kembali. Farhan masih lagi di atas lantai memegang botol minyak pemberian Bahar tadi.

"Kan aku dah pesan, kalau nak main mercun, main la siang-siang. Kan dah kena setel" kata Yazid sambil menembak jawapan soalan 5 latih tubi fizik.

Monday, June 04, 2012

Bila kau pulang dari balik bermalam dan dibekalkan dengan stok makanan banyak oleh mak bapak, para senior akan merenung kau dari balkoni hostel dengan ekspresi wajah macam ni. Serius.


Kredit gif: Google. Sebenarnya gua rembat je pastu tak ingat dari mana amik kahkah.

Zon terlarang antara blok A dan B

Ucop memang skeptikal sedari kecil. Hantu setan momok hatta UFO memang dia tak percaya langsung. tapi Ultraman (terutamanya Ace, sebab khunsa) dan Satria Baja Hitam dia percaya pulak wujud. Sikap tak percaya perkara-perkara aneh dan pelik ni terbawa-bawa sampai Ucop masuk ke sekolah berasrama penuh. Minggu pertama orientasi, waktu assembly* di hostel yang dianjurkan oleh senior tingkatan 4 (dan jugak segelintir tingkatan 3 yang terasa gangster)mengingatkan pelajar-pelajar tingkatan 1 agar tidak sesekali melalui kawasan lapang berumput di antara blok A dan B. Fawwaz, budak katil sebelah Ucop, memang jenis suka bertanya sekonyong-konyong tu jugak melayangkan pertanyaan ' abang, kenapa pulak kitorang tableh lalu?', yang merupakan satu taboo dalam assembly, yakni tak boleh bertanya sebelum sesi tamat. Selepas disauk barang sepenumbuk dua ke perut, barulah Fawwaz mendapat jawapan.

"Sebab kat kawasan tu ada UFO waktu malam" jawapan yang buat semua junior dalam bilik tu terkedu dan telan air liur. "Kitorang sayang korang, kitorang tanak korang kena apa-apa okay" jelas senior yang badan paling berketul tu, dengan nada abang kawasan. Semenjak arahan tu dikeluarkan, takde seorang pun budak tingkatan satu lalu kawasan berumput tu, malahan kawasan blok A dan B. Takut punya pasal. Tepat pukul 11 malam semua dah siap berkelubung dalam selimut kat katil masing-masing. Mana-mana yang nak kencing tu kena berteman, mana yang lapar nak snacking tengah malam kenalah bertahan sampai esok.

Ucop tak puas hati. Dia mana percaya UFO semua ni, dia rasa dia nak buktikan kata-kata senior tu salah. Malahan dia berazam nak buktikan senior yang bajet tough malam semalam tu sebenarnya penakut. Malam tu lepas prep Ucop usha-usha kawasan yang dikatakan selalu ada UFO tu. Takde apa-apa pun. Ucop kumpulkan keberanian sebelum melangkah ke kawasan berumput tu. Sekali. Takde apa-apa. Ucop ronda lagi.

Bunyi berdesup melepasi telinga Ucop. Babi! Serangan alien! Jerit batin Ucop. Suppp! Supp! Supp! Sial UFO serang aku ni, tukas Ucop sambil elak benda aneh yang berdesup-desup menjunam ke tanah berumput situ. Ucop dongak ke sumber serangan tu.

"Woi, kau pegi dewan makan, amik aku kuih untuk supper, aa tu piring aku.Cepat sikit!"
"Weh kau hantar pinggan aku tu pegi dining hall!'
"Woi form one! Kau ingat piring aku tu boleh pergi sendiri dining hall ke nak amik kuih?Deras!"
Shit. Patut la diorang kata jangan lalu situ. UFO konon sumpah Ucop tak berhenti-henti ke dewan makan.

*Assembly - perhimpunan haram dianjurkan oleh senior-senior dengan memanggil junior-junior berkumpul di dalam sebuah bilik. Selalu diiringi upacara menghukum junior, namun tidak semestinya diakhiri dengan pukul-memukul.