Showing posts with label Asrama. Show all posts
Showing posts with label Asrama. Show all posts

Saturday, September 16, 2017

Ketuk-Ketuk

Angin malam bertiup sejuk. Ditambah pula dengan hujan yang baru berhenti sebelum prep malam habis tadi. Ucop dah bersedia dengan baju tidurnya. Fawwaz di katil sebelah sedang duduk berselubung, macam menggigil.

"Harap je gemuk budak Fawwaz ni. Sejuk sikit je dah gigil." Ucop mengekek di dalam hati.

Tepat 11:30 malam kedengaranlah suara P.O.D (Prefect on Duty) di corong pembesar suara mengumumkan masa untuk light-off. Selaku pelajar tingkatan 1, dorm-dorm di Blok D memang wajib mengikuti peraturan ini untuk mengelakkan denda oleh pelajar senior.

Seperti biasa, hanya light sahaja yang off, tapi makhluk-makhluk di dalam dorm masih lagi ON.

"Apa barang weiii tido awal...tak remaja lah! Esok kan Sabtu..." Zainul bersuara. Ucop malas nak layan. Dia terus tarik selimut. Cuaca sejuk-sejuk ni memang sedap tidur.

Tak sampai 15 minit, tiba-tiba kedengaran keadaan huru-hara di dorm sebelah. Tak lama lepas tu semua 9 orang berlari masuk ke dorm Ucop.


Macam ni lah lebih kurang kelam-kabutnya tu...


"Kenapa kecoh-kecoh ni weh!" Ucop bertanya bengang.

"Kitorang dengar bunyi ketuk-ketuk dari bilik stor sebelah. Semua orang dengar. SERAM wei mana ada siapa-siapa kat situ..." Khalil bersuara, terputus-putus. Takut barangkali. Aziz yang berada di sebelahnya terhincut-hincut. Mungkin terjun dari katil akibat terlalu takut.

Ucop berfikir sejenak. Dorm sebelah adalah dorm yang paling hujung dan sepanjang 15 minit yang lalu dia tak ada dengar bunyi orang lalu menuju ke hujung. Ucop mengerling ke katil sebelah, Fawwaz pucat lesi. "Gemuk, penakut. Hampeh!"

"Eh seram jugak wei. Korang tidur sini lah malam ni." Khamin, ketua dorm Ucop bersuara.

Malam itu, mereka berpakat untuk mengangkat semua tilam ke lantai. Sudahnya, 18 orang tidur dalam satu dorm. Takut punya pasal, esoknya semua lambat pergi surau untuk sembahyang subuh. Dendanya, berus karpet surau!

Saturday, September 02, 2017

Bila makan malam hari Rabu lauk ayam masak merah dan barisan panjang tak ingat dan kemudian senior datang menerjah barisan tanpa ada kesedaran sivik, akhirnya kau tertolak ke tepi


Kenapa Rekaan Baju T Kelas Selalu Bikin Cringe?

Senario perbincangan membuat design t shirt kelas/kumpulan circa hujung 90an/awal 2000:

'Okey, idea? Baju kelas kita kena outstanding. Lain daripada lain'

'Aku ada idea baik! Design kita kena ada imej Blues untuk Aku. Baru bangga nak tayang kita budak SBP!'

'Cantik, lepas tu kita letak semua nama budak kelas, letak nickname pun takpe'

'Tapi korang panggil aku pakai nama datuk aku.'

'Ha padan muka kahkah. Anyway, kaler biar hitam. Budak perempuan kena lengan panjang sebab nak tutup aurat'

'Tak nak ada kartun, susah nak bawak semayang!'

'Baik letak logo MSC besar-besar, kita kan batch millennium???'

'Letak motif sains sikit la, radas ke, T-square ke apa ke'

'Aku ada kenal brader ni boleh printkan dekat Pasar Seni, harga confirm murah'

'Okey aku design jap kat lab komputer. Nanti weekend boleh print terus. Engko kutip duit.'

Hasil akhir:

Bukan hasil akhir yang sebenar

Lepas tu, takde siapa dah bincang-bincang nak buat t-shirt kelas lagi.

Monday, January 26, 2015

Sharing is Caring

Jam menunjukkan pukul 11:30 malam. Tinggal 30 minit lagi sebelum light-off. Di dorm D3.2 kelihatan Ucop, Adib, Zainol, dan Bahar sedang resah menunggu. "Mana Fawwaz ni?" Adib bersuara. "Entahnya...lama betul. Dasar budak gemuk." Bahar pula bersuara seakan-akan tidak berpuas hati.

Tidak lama kemudian, Fawwaz muncul di muka pintu sambil membawa baldi berisi separuh air. "Sorry geng, aku nature-call tadi...hehehe" kata Fawwaz sambil tersenyum. "Eeeeuwwwwwwww!" Ucop, Adib, Zainol, dan Bahar serentak bersuara. 

"Zainol, kau pergi tukar air dalam baldi tu. Pengotor betul budak Fawwaz ni. Kita kesuntukan masa ni. Tak boleh di harap betul!" Ucop mengeluarkan arahan. Zainol tanpa membuang masa terus mengambil baldi dari tangan Fawwaz dan terus menuju ke tandas. Selang 3 minit, Zainol kembali bersama baldi berisi air.

"Semua dah ready?" tanya Ucop dan disambut oleh anggukan dari rakan-rakannya. Adib dan Bahar bergerak menuju ke locker masing-masing dan kembali berkumpul di baldi dengan sesuatu di tangan mereka. Adib bersama gegelung pemanas air dan Bahar bersama 5 bungkus Mi Maggi. 

"Tonight, we dine in BALDI!!!!" jerit Ucop.

Sunday, December 14, 2014

Misi Mustahil

Fawwaz termengah-mengah. Tangga tonggek didakinya dengan laju sekali. "Baru pukul 6 petang. Abang-abang ragbi mesti tengah main dekat padang lagi" ujar Fawwaz dalam hati. Tangan Fawwaz penuh dengan jajan dan snek. 3 plastik penuh hasil lawatan orang tuanya sebentar tadi. Ada Pringles, Oreo, Twisties, dan bermacam-macam lagi snek ala barat. Selepas tangga tonggek, Fawwaz perlu melalui kawasan bahaya, melintasi Blok A dan B. Tapi Fawwaz yakin, abang-abang senior lebih suka bermain di padang ataupun masih tidur terbongkang di katil pada petang Ahad begini.

Selepas menghela nafas sebentar, Fawwaz terus sahaja berjalan laju menuju ke Blok D yang terletak di hujung sekali. Rentak langkah Fawwaz semakin laju walaupun termengah-mengah. Dalam benak fikirannya hanya satu, "Aku perlu sampai segera ke blok D!". Dia berjalan tanpa menoleh kiri dan kanan. Fawwaz memang fokus.

Sampai sahaja di hujung Blok B, Fawwaz semakin tiba ke destinasi. Dia bertambah yakin yang dia akan terselamat kali ini. Baru sahaja Fawwaz mahu mengukirkan senyuman, tiba-tiba terdengar satu suara yang sangat Fawwaz kenali. "Hoi form 1! Mari sini..." Fawwaz menoleh dan melihat Abang Khair dan 4 orang lagi rakannya sedang duduk di pintu surau siap berkain pelikat dan berkopiah. Rupa-rupanya mereka baru sahaja selesai kelas mengaji Quran bersama Ustaz Khairul. Dengan langkah yang berat, Fawwaz menuju ke arah mereka. Dalam fikirannya tahu, banyak snek akan habis dan dia perlu cuba lagi minggu depan untuk satu lagi misi mustahil.

Friday, April 04, 2014

Dendam Seterika Baju



Ahad malam Isnin, malam yang ditakuti pelajar-pelajar junior macam Ucop dan Fawwaz. Para senior akan berlegar mencari mangsa untuk menyelesaikan kerja sekolah atau menggosok baju. Siapa yang berani merayau-rayau di koridor pastinya menerima padah. Macam Fawwaz. Hanya disebabkan teringin nak mengepau kek lapis dari dorm atas, dia sanggup keluar dari bilik dan mendedahkan dirinya kepada risiko. Akibatnya? 7 helai uniform sekolah untuk digosok dan 10 muka surat latihan Fizik untuk disiapkan sebelum Subuh esok.



Ucop bila fikir balik memang tergelak mengenang kegelabahan Fawwaz pada malam tu. 'Ini tak adil!' rintih Fawwaz semalaman sementara yang lain enak melayari tidur. Bangak, tu la ikut lagi nafsu perut, kutuk Ucop dalam hati.



Tak semena-mena Ucop rasa nak kencing. Menggelupur dia sarung selipar, memecut ke tandas. Bila dia nak melangkah masuk ke bilik selesai ke tandas, nama Ucop dilaung dari blok sebelah. Celaka! Jerit nurani Ucop.



Ucop memaki-maki dalam hati tatkala Mat Yen menghulur baju untuk digosok. 'Jangan ada double line ah' tutur Mat Yen dengan mata menyorot ganas. Harapan nak tidur awal lenyap begitu saja. Lagi sakit hati melihat Fawwaz enak terbongkang di katil bila dia melangkah masuk ke bilik.



Ucop baru aje menghidupkan seterika bila tersedar Cikgu Tengku sedang memerhati daripada daun pintu. Celaka, berapa lama dia ada kat situ? Senyap pulak tu,jangan nak pose ala Batman la woi, pelbagai monolog berlumba merentasi fikiran Ucop.


'Apasal berjaga lagi?' kata Cikgu Tengku, atau Kurap, nama kod berbau hinaan diberikan oleh penghuni hostel yang anti beliau. 'Nak iron baju...cikgu' gagap Ucop melihat Cikgu Tengku memeluk tubuh, dan pencahayaan koridor memberi mood suram dan ngeri. Cikgu Tengku hanya berdehem perlahan dan mendekati. 'Teruk betul skil iron baju kau ni. Cikgu ajar sekali ni je okey' tiba-tiba pulak dia baik hati.

Ucop diam aje sambil melihat baju Mat Yen digosok Cikgu Tengku, sebelum idea jahat menjelma dalam kepala. 'Terima kasih, Cikgu' lantas Ucop membawa baju siap diseterika tu keluar dorm yang mengundang hairan Cikgu Tengku. 'Kau nak pergi mana pulak?' kening Cikgu Tengku tegak sebelah. Ucop berpusing belakang sambil tersenyum keji, 'Nak pulangkan baju ni kat Abang Mat Yen, dia suruh saya gosok tadi'. Ucop yakin esok Mat Yen akan ada sesi temujanji dengan Penolong Kanan HEM disusuli sesi kaunseling. Itu ubatnya kalau kacau aku nak tido, jerit batin Ucop.

Sunday, March 30, 2014

Qiyam Waktu Malam

"Jangan lupa malam ni. Semua wajib datang! Assalamualaikum wbt." Abang Saiful mengakhiri sesi usrah beliau pada petang itu. Tegas tetapi masih berhemah.

Ucop berasa teruja. Tidak pernah lagi dia Qiyammulail. Dan dia juga baru diberitahu akan pahala orang yang bangun malam. Dia semakin teruja. Malam itu prep malam seperti biasa. Habis prep malam, Ucop bergegas ke kantin untuk sebungkus nasi goreng.

"Ucop, kejut aku tau nanti. Takut tak terbangun pulak. Jarang dapat tidur awal malam Sabtu ni..." kata Fawwaz sambil membetulkan kain pelikatnya. Lantas dia menutup suis lampu dorm dan terus ke katil. Tanpa diketahui mereka, Badan Islamiah (BADAI) telahpun meminta kerjasama pengawas untuk menangguhkan assembly supaya pelajar tingkatan satu dapat turun ke Qiyammullail malam ini.

"Bangun! Bangun! 15 minit semua mesti ada kat surau!" terdengar suara Abang Saiful memecah keheningan asrama Blok D. Pintu dorm diketuk bertalu-talu. Kelihatan beberapa orang pelajar yang tidur dengan memakai baju melayu terus bergegas ke surau.

"Ucop, diorang tak gosok gigi dulu ke?" tanya Fawwaz.

"Takpe, itukan bau wangian di syurga..." jawab Ucop.

"Tu orang berpuasa laaaaa bangang..." tempelak Fawwaz sambil memukul Ucop.

Di dalam surau, Abang Saiful menjelaskan tentang amalan-amalan sunat yang boleh dilakukan ketika Qiyammullail. Dan pada malam itu, mereka akan mulakan dengan solat tahajud seterusnya solat sunat tasbih. Selesai solat tahajud, Abang Saiful terus bangun untuk mengimamkan solat sunat tasbih. Mereka semua tahu solat sunat tasbih akan mengambil masa yang agak panjang kerana setiap rukun solat akan di sertakan dengan bacaan tasbih.

"Usholli sunnatan...." Ucop membaca niat solat sunat tasbih. Dia cuba menghayati bacaan dengan penuh khusyu' dan tawadduk. Tiba-tiba "Bedebukkkkk......" Dengan tindakan refleks, Ucop terus berpaling ke sebelah kanan dan kelihatan Khairi, budak dorm sebelah telah terbaring di lantai surau.

Tuesday, October 15, 2013

Terjun Tiruk Waktu Subuh

Musim kemarau tiba lagi. Asrama Jalan Tenteram yang terletak di atas bukit turut terasa tempiasnya. Bekalan air dicatu menjadikan kehidupan seharian para pelajar sengsara. Manakan tidak, sudahlah air tiada, lori tangki air bila sampai boleh pula parkir di dataran sekolah yakni di bawah bukit. Menggelupur para pelajar beratur nak ambil air. Pulak tu tandas bila takde air, baunya jangan cakaplah. Yang menulis ni pun kembang tekak mengingat kembali. Rungutan demi rungutan diajukan kepada pengurusan sekolah. Guru Penolong Kanan HEM jadi pening. Lori tangki air hanya boleh datang waktu petang sahaja, bermakna pagi-pagi pelajar sukar nak bersiap ke sekolah. Akhirnya beliau mengambil keputusan, para pelajar dibenarkan keluar ke tasik di hadapan sekolah untuk menggunakan kemudahan air di sana, dengan syarat tidak mengambil kesempatan untuk fly.

Subuh tu, Ucop dan Fawwaz bersiap-siap hendak ke tasik. 'Beb, dapat fly dengan kebenaran ni beb, best oo!' Ucop bersuara sambil menjinjit baldi berisi toiletries.Budak-budak ni masa Subuh pun semangat berapi-api, terutama dalam keadaan krisis macam ni, hairan betul. Ucop mengejutkan Acit, mamat paling liat nak bangun pagi untuk pergi mandi di tasik, tapi dibalas dengan dengkuran. 'Woi kau lambat kau pergi sorang-sorang' ugutan Ucop membuatkan Acit terbangun spontan.

Dari jauh, kelibat tiga budak tingkatan satu menuju ke Tasik Homo. Oh ni bukan nama rasmi tasik tu. Ia dipanggil sedemikian kerana ramai golongan homo berkeliaran di situ mencari mangsa selepas waktu Maghrib. John Wong, budak dorm sebelah pernah kena kacau sewaktu fly ke Pleasure Mall, sampai sekarang budak Cina tu insaf tak nak fly dah. Bait-bait lagu Westlife begitu kuat dinyanyikan Fawwaz, sambil sekali-sekala disahut Ucop. Acit masih separa sedar, sehinggalah dia nampak cahaya bulan terbayang-bayang di permukaan tasik. 'Powerrrrrrrrrrrrrrrrrrrrr wooo tasik!' Acit jadi histeria dan cuba buka langkah. 'Woi jangan! Tak payah! Kita mandi kat pili bomba tu dah la, cepat sikit setel' tahan Ucop. 'Ahhh kau tak reti berenang kau mandi je la kat pili tu!' protes Acit lalu mencampak baldi toiletries, melondehkan semuanya tinggal boxer saja.

'TERJUN TIRUUUUUUUUUUUUUUUUUUUUUUUUUK WEHUUUUUUUUUUUUUU' Keceburrrr!Acit membuat terjunan signature beliau, yang boleh buat mana-mana hakim terjunan memberikan paling kurang mata 7.5 hingga 8. 'Segarnyaaaaaaaaaaaa' jerit Acit. Budak-budak lain tengok aje, malas nak sertai sebab hawa dingin Subuh menusuk tulang. Ucop dan Fawwaz menghabiskan 15 minit untuk mandi sebelum memanggil Acit naik untuk pulang ke asrama. Tak habis-habis Acit menceritakan keseronokan berenang di Tasik Homo tu. Ucop dan Fawwaz diam aje, malas nak layan satu. Sejuk pun satu hal.

Petang tu, mereka bertiga kembali ke tasik Homo. Acit paling bersemangat sekali....sampailah beliau melihat sendiri keadaan tasik tu dalam keadaan cerah. Berlumut, berkeladak, dengan macam-macam benda tak dikenali terapung di permukaan tasik Homo tu. Sepanjang beratur menunggu giliran, Acit tak berhneti-henti mencarut mengenang ketololannya terjun ke tasik tu membabi buta.

Thursday, October 03, 2013

Naik Motor

Fawwaz cemas. Maghrib tadi dia tertidur di surau semasa zikir. Dalam keadaan separuh sedar dia terlentok ke dinding surau dan Abang Johan ternampak perbuatan itu. Kelihatan Abang Johan menjeling ke arah Fawwaz. Memang sudah menjadi rule of thumb hanya pelajar senior sahaja boleh menikmati keselesaan dinding surau.

Fawwaz protes di dalam hati. "Dinding surau ni kan milik semua orang. Kenapa senior je boleh sandar? Nanti mati sama-sama masuk kubur jugak!"

Fawwaz pergi ke prep malam seperti biasa. Jiwanya masih tidak tenang mengingatkan jelingan Abang Johan selepas Maghrib tadi. Fawwaz bertambah jengkel melihat Ucop gembira tidak tentu hala.

"Dapat request dari kakak angkat la tu" ngomel Fawwaz.

Prep malam sudah tamat. Kebanyakan pelajar meluru ke kantin untuk membeli nasi lemak atau nasi goreng. Skim membesarkan badan bak kata sesetengah mereka. Fawwaz berjalan longlai pulang ke asrama. Masih terbayang-bayang jelingan Abang Johan.

Sampai di dorm, Fawwaz terus menukar pakaian dan bersedia untuk tidur. Memang sudah menjadi kelaziman pelajar form 1 untuk tidur awal. Ini untuk mengelakkan daripada dipanggil pelajar-pelajar senior. Sedang Fawwaz sudah hampir merebahkan badan ke katil kedengaran suara Zainul seperti bergegas.

"Fawwaz, Abang Johan panggil kau datang dorm dia. Sekarang!" Zainul lantas berlalu pergi.

Fawwaz menelan air liur pahit. Ketakutan dan kebimbangannya sudah menjadi kenyataan. Dorm Abang Fawwaz di blok sebelah. Satu perjalanan yang "panjang" bagi pelajar junior. Fawwaz berat kaki melangkah ke dorm Abang Johan.

"Habislah aku malam ni..." kata hati kecil Fawwaz.

Sesampai sahaja Fawwaz, kelihatan Abang Johan sedang baring di katil. Fawwaz lantas memberi salam.

"Hah, tutup lampu tu..." Johan bersuara tanpa menjawab salam yang Fawwaz berikan.

Fawwaz bertambah gusar. Suis lampu dorm dicapainya dan dorm serta-merta menjadi gelap dan menyuramkan.

"Kau tau tak kenapa aku panggil kau malam ni?" Johan memecah keheningan.

"Tak tau Abang Johan." jawab Fawwaz walaupun dia dapat mengagak sebab Johan memanggilnya.

"Aku nampak kau selamba je sandar kt surau td. Dah rasa besar ke?" soal Johan serius.

"Saya terlelap tadi Bang..."jawab Fawwaz.

"Banyak pulak alasan kau. Dah...sekarang sebab kau dah langgar peraturan aku nak kau buat superbike." arah Johan.

Fawwaz memang memahami istilah "superbike" lantas dia membengkokkan lutut umpama menunggang motorsikal dan kedua-dua belah tangannya diangkat kehadapan.

"Nasib baik bukan Syafiq yang nampak. Kalau tidak lagi nahas kau. Kau buat superbike sampai aku tidur." Johan lantas mengambil novel Lagenda Budak Setan dan terus sambung membacanya. Sementara itu Fawwaz kekal di posisi menunggang motorsikalnya. Dia tahu esok dia akan berjalan kengkang.


Sunday, December 02, 2012

Ini apa? Kenapa Suatu Masa Di Jalan Tenteram?

Di Jalan Tenteram asalnya diwujudkan oleh aku dan Fariz teman sebilik di sekolah dahulu. Sorry ye di atas penggunaan kata diri 'aku', sebab DJT adalah sebuah projek yang personal dan rapat signifikannya dengan aku (di blog lain seperti blog music aku dan personal aku pakai ganti nama diri 'gua', sebab apa entah).

Aku tak ingat sangat macam mana aku conceive idea ni tapi cerita-cerita terawal ini terhasil sewaktu aku selalu travel dalam LRT dan selalu tweet menda merepek. Kemudian aku mulakan hashtag #boardingschoolmemories dan aku share kenangan aku di sekolah Jalan Tenteram ni (teka la sekolah mana satu hehe) dalam 140 patah perkataan. Takde la jadi trending ke apa orang start follow hashtag tu ke apa kemudian aku perasan, banyak sebenarnya kisah-kisah aku simpan dan tak ceritakan. Tu baru aku, kalau aku kumpul cerita daripada 5 orang rakan satu batch? Macam mana kalau aku kumpul 5 cerita daripada setiap seorang individu yang pernah belajar kat sekolah ni? Bukan ke ia satu perkongsian yang menarik?

Seringkali bila aku lepak dengan kawan-kawan sekolah (terutamanya sekumpulan budak-budak yang majoritinya kulit gelap, for some strange reason aku cerah gila kahkah), selalunya topik akan bermula dengan kehidupan semasa, karier, kahwin/relationship kemudian lama-lama kami akan terpesong kepada kenangan zaman sekolah. As if we never really wanted to leave it (zaman tu), apa lagi to forget it. True, we are all grown up but whenever ingat balik, wah, aku terutamanya akan rasa life is not bad, at least zaman sekolah aku exciting, although aku bukanlah selebriti, sportsman atau bermasalah disiplin sewaktu dulu. Aku hanyalah seorang produk sekolah berasrama yang tak sempurna. Yang defect. Aku banyak perhatikan orang di zaman sekolah dahulu. Membuatkan aku rasa aku mungkin perlu mula menulis segala cerita-cerita zaman remaja di asrama ni, sebelum aku terlupa.

Di kalangan rakan-rakan sekolah yang lain, aku memilih jalan yang songsang sedikit. Aku tak jadi seperti kebanyakan mereka; doktor, jurutera, pakar itu ini. Aku hanyalah seorang penulis di sebuah agensi pengiklanan antarabangsa di Petaling Jaya. Sebenarnya menulis bukanlah passion aku, aku cuma suka kongsi excitement sesuatu cerita. Jadi aku rasa projek ni adalah satu attempt aku ( dan rakan-rakan) untuk menyalakan passion creative writing. Macam Fariz (co-writer projek ini) di siang hari dia adalah seorang jurutera tapi aku tau dia ada minat menulis. Aku beri galakan untuk dia terus menulis dalam projek ini supaya minat itu tak mati.

Kewujudan DJT secara dasarnya adalah untuk menjadikan kenangan lampau di sekolah terus subur dan hidup, seperti mak dan abah aku pernah cakap tiap kali aku malas nak balik sekolah "zaman sekolah adalah zaman terbaik dalam hidup kau, zaman kat uni pun tak sehebat ni". They were right. Aku pasti kau orang pun akan setuju.

Projek DJT ini tak mempunyai goal yang spesifik. Aku cuma nak kumpulkan kisah-kisah dahulu. Paling jauh aku boleh fikir sekarang adalah untuk compile dalam bentuk buku bersiri dan print bila aku dah berusia dan kaya kemudian jual masa dinner alumni hahahaha. Yang penting pada aku adalah tiap kali kau singgah dan baca di sini aku nak kau orang menutup blog ini sambil tersengih dan berkata 'ha aku dulu pun pernah buat benda yang serupa' atau 'ha aku ada masa menda ni jadi', 

Aku harap projek ini akan terus berjalan untuk jangka masa yang panjang sebab tempoh 5 tahun di sekolah ni sebenarnya banyak cerita boleh dikorek keluar. Okey? Lain kali aku akan tulis lagi.

A.