Friday, April 04, 2014

Dendam Seterika Baju



Ahad malam Isnin, malam yang ditakuti pelajar-pelajar junior macam Ucop dan Fawwaz. Para senior akan berlegar mencari mangsa untuk menyelesaikan kerja sekolah atau menggosok baju. Siapa yang berani merayau-rayau di koridor pastinya menerima padah. Macam Fawwaz. Hanya disebabkan teringin nak mengepau kek lapis dari dorm atas, dia sanggup keluar dari bilik dan mendedahkan dirinya kepada risiko. Akibatnya? 7 helai uniform sekolah untuk digosok dan 10 muka surat latihan Fizik untuk disiapkan sebelum Subuh esok.



Ucop bila fikir balik memang tergelak mengenang kegelabahan Fawwaz pada malam tu. 'Ini tak adil!' rintih Fawwaz semalaman sementara yang lain enak melayari tidur. Bangak, tu la ikut lagi nafsu perut, kutuk Ucop dalam hati.



Tak semena-mena Ucop rasa nak kencing. Menggelupur dia sarung selipar, memecut ke tandas. Bila dia nak melangkah masuk ke bilik selesai ke tandas, nama Ucop dilaung dari blok sebelah. Celaka! Jerit nurani Ucop.



Ucop memaki-maki dalam hati tatkala Mat Yen menghulur baju untuk digosok. 'Jangan ada double line ah' tutur Mat Yen dengan mata menyorot ganas. Harapan nak tidur awal lenyap begitu saja. Lagi sakit hati melihat Fawwaz enak terbongkang di katil bila dia melangkah masuk ke bilik.



Ucop baru aje menghidupkan seterika bila tersedar Cikgu Tengku sedang memerhati daripada daun pintu. Celaka, berapa lama dia ada kat situ? Senyap pulak tu,jangan nak pose ala Batman la woi, pelbagai monolog berlumba merentasi fikiran Ucop.


'Apasal berjaga lagi?' kata Cikgu Tengku, atau Kurap, nama kod berbau hinaan diberikan oleh penghuni hostel yang anti beliau. 'Nak iron baju...cikgu' gagap Ucop melihat Cikgu Tengku memeluk tubuh, dan pencahayaan koridor memberi mood suram dan ngeri. Cikgu Tengku hanya berdehem perlahan dan mendekati. 'Teruk betul skil iron baju kau ni. Cikgu ajar sekali ni je okey' tiba-tiba pulak dia baik hati.

Ucop diam aje sambil melihat baju Mat Yen digosok Cikgu Tengku, sebelum idea jahat menjelma dalam kepala. 'Terima kasih, Cikgu' lantas Ucop membawa baju siap diseterika tu keluar dorm yang mengundang hairan Cikgu Tengku. 'Kau nak pergi mana pulak?' kening Cikgu Tengku tegak sebelah. Ucop berpusing belakang sambil tersenyum keji, 'Nak pulangkan baju ni kat Abang Mat Yen, dia suruh saya gosok tadi'. Ucop yakin esok Mat Yen akan ada sesi temujanji dengan Penolong Kanan HEM disusuli sesi kaunseling. Itu ubatnya kalau kacau aku nak tido, jerit batin Ucop.