Ahad malam Isnin, malam yang ditakuti pelajar-pelajar
junior macam Ucop dan Fawwaz. Para senior akan berlegar mencari mangsa untuk
menyelesaikan kerja sekolah atau menggosok baju. Siapa yang berani
merayau-rayau di koridor pastinya menerima padah. Macam Fawwaz. Hanya
disebabkan teringin nak mengepau kek lapis dari dorm atas, dia sanggup keluar
dari bilik dan mendedahkan dirinya kepada risiko. Akibatnya? 7 helai uniform
sekolah untuk digosok dan 10 muka surat latihan Fizik untuk disiapkan sebelum
Subuh esok.
Ucop bila fikir balik memang tergelak mengenang
kegelabahan Fawwaz pada malam tu. 'Ini tak adil!' rintih Fawwaz semalaman
sementara yang lain enak melayari tidur. Bangak, tu la ikut lagi nafsu perut,
kutuk Ucop dalam hati.
Tak semena-mena Ucop rasa nak kencing. Menggelupur dia
sarung selipar, memecut ke tandas. Bila dia nak melangkah masuk ke bilik
selesai ke tandas, nama Ucop dilaung dari blok sebelah. Celaka! Jerit nurani
Ucop.
Ucop memaki-maki dalam hati tatkala Mat Yen menghulur
baju untuk digosok. 'Jangan ada double line ah' tutur Mat Yen dengan mata
menyorot ganas. Harapan nak tidur awal lenyap begitu saja. Lagi sakit hati
melihat Fawwaz enak terbongkang di katil bila dia melangkah masuk ke
bilik.
Ucop baru aje menghidupkan seterika bila tersedar Cikgu
Tengku sedang memerhati daripada daun pintu. Celaka, berapa lama dia ada kat
situ? Senyap pulak tu,jangan nak pose ala Batman la woi, pelbagai monolog
berlumba merentasi fikiran Ucop.
Ucop diam aje sambil melihat baju Mat Yen digosok Cikgu Tengku, sebelum idea jahat menjelma dalam kepala. 'Terima kasih, Cikgu' lantas Ucop membawa baju siap diseterika tu keluar dorm yang mengundang hairan Cikgu Tengku. 'Kau nak pergi mana pulak?' kening Cikgu Tengku tegak sebelah. Ucop berpusing belakang sambil tersenyum keji, 'Nak pulangkan baju ni kat Abang Mat Yen, dia suruh saya gosok tadi'. Ucop yakin esok Mat Yen akan ada sesi temujanji dengan Penolong Kanan HEM disusuli sesi kaunseling. Itu ubatnya kalau kacau aku nak tido, jerit batin Ucop.