Thursday, October 03, 2013

Naik Motor

Fawwaz cemas. Maghrib tadi dia tertidur di surau semasa zikir. Dalam keadaan separuh sedar dia terlentok ke dinding surau dan Abang Johan ternampak perbuatan itu. Kelihatan Abang Johan menjeling ke arah Fawwaz. Memang sudah menjadi rule of thumb hanya pelajar senior sahaja boleh menikmati keselesaan dinding surau.

Fawwaz protes di dalam hati. "Dinding surau ni kan milik semua orang. Kenapa senior je boleh sandar? Nanti mati sama-sama masuk kubur jugak!"

Fawwaz pergi ke prep malam seperti biasa. Jiwanya masih tidak tenang mengingatkan jelingan Abang Johan selepas Maghrib tadi. Fawwaz bertambah jengkel melihat Ucop gembira tidak tentu hala.

"Dapat request dari kakak angkat la tu" ngomel Fawwaz.

Prep malam sudah tamat. Kebanyakan pelajar meluru ke kantin untuk membeli nasi lemak atau nasi goreng. Skim membesarkan badan bak kata sesetengah mereka. Fawwaz berjalan longlai pulang ke asrama. Masih terbayang-bayang jelingan Abang Johan.

Sampai di dorm, Fawwaz terus menukar pakaian dan bersedia untuk tidur. Memang sudah menjadi kelaziman pelajar form 1 untuk tidur awal. Ini untuk mengelakkan daripada dipanggil pelajar-pelajar senior. Sedang Fawwaz sudah hampir merebahkan badan ke katil kedengaran suara Zainul seperti bergegas.

"Fawwaz, Abang Johan panggil kau datang dorm dia. Sekarang!" Zainul lantas berlalu pergi.

Fawwaz menelan air liur pahit. Ketakutan dan kebimbangannya sudah menjadi kenyataan. Dorm Abang Fawwaz di blok sebelah. Satu perjalanan yang "panjang" bagi pelajar junior. Fawwaz berat kaki melangkah ke dorm Abang Johan.

"Habislah aku malam ni..." kata hati kecil Fawwaz.

Sesampai sahaja Fawwaz, kelihatan Abang Johan sedang baring di katil. Fawwaz lantas memberi salam.

"Hah, tutup lampu tu..." Johan bersuara tanpa menjawab salam yang Fawwaz berikan.

Fawwaz bertambah gusar. Suis lampu dorm dicapainya dan dorm serta-merta menjadi gelap dan menyuramkan.

"Kau tau tak kenapa aku panggil kau malam ni?" Johan memecah keheningan.

"Tak tau Abang Johan." jawab Fawwaz walaupun dia dapat mengagak sebab Johan memanggilnya.

"Aku nampak kau selamba je sandar kt surau td. Dah rasa besar ke?" soal Johan serius.

"Saya terlelap tadi Bang..."jawab Fawwaz.

"Banyak pulak alasan kau. Dah...sekarang sebab kau dah langgar peraturan aku nak kau buat superbike." arah Johan.

Fawwaz memang memahami istilah "superbike" lantas dia membengkokkan lutut umpama menunggang motorsikal dan kedua-dua belah tangannya diangkat kehadapan.

"Nasib baik bukan Syafiq yang nampak. Kalau tidak lagi nahas kau. Kau buat superbike sampai aku tidur." Johan lantas mengambil novel Lagenda Budak Setan dan terus sambung membacanya. Sementara itu Fawwaz kekal di posisi menunggang motorsikalnya. Dia tahu esok dia akan berjalan kengkang.


No comments:

Post a Comment