Sunday, December 14, 2014

Misi Mustahil

Fawwaz termengah-mengah. Tangga tonggek didakinya dengan laju sekali. "Baru pukul 6 petang. Abang-abang ragbi mesti tengah main dekat padang lagi" ujar Fawwaz dalam hati. Tangan Fawwaz penuh dengan jajan dan snek. 3 plastik penuh hasil lawatan orang tuanya sebentar tadi. Ada Pringles, Oreo, Twisties, dan bermacam-macam lagi snek ala barat. Selepas tangga tonggek, Fawwaz perlu melalui kawasan bahaya, melintasi Blok A dan B. Tapi Fawwaz yakin, abang-abang senior lebih suka bermain di padang ataupun masih tidur terbongkang di katil pada petang Ahad begini.

Selepas menghela nafas sebentar, Fawwaz terus sahaja berjalan laju menuju ke Blok D yang terletak di hujung sekali. Rentak langkah Fawwaz semakin laju walaupun termengah-mengah. Dalam benak fikirannya hanya satu, "Aku perlu sampai segera ke blok D!". Dia berjalan tanpa menoleh kiri dan kanan. Fawwaz memang fokus.

Sampai sahaja di hujung Blok B, Fawwaz semakin tiba ke destinasi. Dia bertambah yakin yang dia akan terselamat kali ini. Baru sahaja Fawwaz mahu mengukirkan senyuman, tiba-tiba terdengar satu suara yang sangat Fawwaz kenali. "Hoi form 1! Mari sini..." Fawwaz menoleh dan melihat Abang Khair dan 4 orang lagi rakannya sedang duduk di pintu surau siap berkain pelikat dan berkopiah. Rupa-rupanya mereka baru sahaja selesai kelas mengaji Quran bersama Ustaz Khairul. Dengan langkah yang berat, Fawwaz menuju ke arah mereka. Dalam fikirannya tahu, banyak snek akan habis dan dia perlu cuba lagi minggu depan untuk satu lagi misi mustahil.

No comments:

Post a Comment