Sunday, December 16, 2012

Pelangi Petang

Hujan lebat turun membasahi bumi Jalan Tenteram ketika prep petang. Arakian, ramailah kaum-kaum adam yang ponteng prep. Enak untuk tidur katanya. Ketika ini jugalah Cikgu Sanushi aka Warden Garang Tahap Vavi melakukan rondaan bersama sebatang rotan halus yang dipanggil anak angkatnya. Ramailah yang merasa belaian anak angkat Cikgu Sanushi.

Ucop selaku pelajar tingkatan satu sudah pastinya masih patuh kepada undang-undang sekolah seperti yang dibacakan dalam ikrar setiap pagi Isnin. Maka, tidak kiralah hujan atau ribut, Ucop akan tetap menghadiri prep petang seperti yang telah dijadualkan, ,meskipun hanya untuk tidur. Tetapi pada petang itu Ucop tidak tidur. Hasil pujian Cikgu Rosmah yang cantik jelita semasa kelas Sains pagi tadi, Ucop bersungguh untuk menyiapkan laporan amali sainsnya sehabis baik.

"Aku kena buat bagus-bagus supaya dapat pujian cikgu Rosmah lagi" ujar Ucop dalam hati.

Ketika prep petang hampir kepenghujungnya, hujan pun berhenti. Ucop juga sudah selesaikan laporan amali sainsnya dan menghela nafas kepuasan. Setelah bertungkus-lumus sebentar tadi, Ucop membuat keputusan untuk bersidai di balkoni blok akademik sambil menghirup udara selepas hujan. Tidak lama kemudian, pelangi tiba-tiba muncul. Ucop terpegun dan terus termenung sambil membayangkan saat-saat indah bersama Fazlin, gadis idaman.

Tiba-tiba Fawwaz muncul dan menegur Ucop dari belakang.

"Kau buat apa tu Ucop?" ujar Fawwaz kuat

Ucop tersentak dari lamunannya dan sedikit jengkel dengan sergahan Fawwaz.

"Aku tengah tengok pelangi tu, cantik..." jawab Ucop sambil menuding jarinya ke arah pelangi.

"Woi! Jangan tunjuk pelangi laaaa...orang kata nanti kudung!" gelabah Fawwaz sambil menarik tangan Ucop

Ucop yang sudah tentunya terkejut dengan tindakan Fawwaz berdiam diri sambil merenung tajam.

PANGGGG!!!!

Fawwaz berasa panas di pipi dan terdengar Ucop berlalu pergi sambil merengus "TAHYUL!"

No comments:

Post a Comment