Saturday, September 16, 2017

Ketuk-Ketuk

Angin malam bertiup sejuk. Ditambah pula dengan hujan yang baru berhenti sebelum prep malam habis tadi. Ucop dah bersedia dengan baju tidurnya. Fawwaz di katil sebelah sedang duduk berselubung, macam menggigil.

"Harap je gemuk budak Fawwaz ni. Sejuk sikit je dah gigil." Ucop mengekek di dalam hati.

Tepat 11:30 malam kedengaranlah suara P.O.D (Prefect on Duty) di corong pembesar suara mengumumkan masa untuk light-off. Selaku pelajar tingkatan 1, dorm-dorm di Blok D memang wajib mengikuti peraturan ini untuk mengelakkan denda oleh pelajar senior.

Seperti biasa, hanya light sahaja yang off, tapi makhluk-makhluk di dalam dorm masih lagi ON.

"Apa barang weiii tido awal...tak remaja lah! Esok kan Sabtu..." Zainul bersuara. Ucop malas nak layan. Dia terus tarik selimut. Cuaca sejuk-sejuk ni memang sedap tidur.

Tak sampai 15 minit, tiba-tiba kedengaran keadaan huru-hara di dorm sebelah. Tak lama lepas tu semua 9 orang berlari masuk ke dorm Ucop.


Macam ni lah lebih kurang kelam-kabutnya tu...


"Kenapa kecoh-kecoh ni weh!" Ucop bertanya bengang.

"Kitorang dengar bunyi ketuk-ketuk dari bilik stor sebelah. Semua orang dengar. SERAM wei mana ada siapa-siapa kat situ..." Khalil bersuara, terputus-putus. Takut barangkali. Aziz yang berada di sebelahnya terhincut-hincut. Mungkin terjun dari katil akibat terlalu takut.

Ucop berfikir sejenak. Dorm sebelah adalah dorm yang paling hujung dan sepanjang 15 minit yang lalu dia tak ada dengar bunyi orang lalu menuju ke hujung. Ucop mengerling ke katil sebelah, Fawwaz pucat lesi. "Gemuk, penakut. Hampeh!"

"Eh seram jugak wei. Korang tidur sini lah malam ni." Khamin, ketua dorm Ucop bersuara.

Malam itu, mereka berpakat untuk mengangkat semua tilam ke lantai. Sudahnya, 18 orang tidur dalam satu dorm. Takut punya pasal, esoknya semua lambat pergi surau untuk sembahyang subuh. Dendanya, berus karpet surau!

No comments:

Post a Comment