Tuesday, June 05, 2012

Mercun Bola

Jarum jam menunjukkan pukul 12.30 tengah malam. Sepatutnya sudah light-off tetapi di dorm yang menempatkan pelajar senior, satu lampu pasti masih ON. Itu wajib. Yazid baru sahaja ingin menelaah matapelajaran fizik. Cikgu Jusoh siang tadi ada memberikan soalan latih tubi dan mahu dibincang esok. Yazid ketika prep malam sibuk berborak dengan Jasmin, membincangkan masa depan yang masih belum pasti sehingga terlupa homework Cikgu Jusoh. Cikgu Jusoh sememangnya terkenal dengan kegarangan beliau. Rotan 2 kaki panjang yang selalu dibawanya ke kelas sudah pun menghinggapi ramai mangsa. Bayangan rotan Cikgu Jusoh membuatkan Yazid semakin bersemangat untuk menyiapkan latih tubi tersebut.

"Soalan objektif je ni. Sekejap boleh siap. Paling teruk pun aku tembak aje la." kata Yazid separa kuat.

Malam itu agak hening. Unggas pun tidak kedengaran. Yazid lantas menekan punat PLAY di radio kecil pemberian kakak angkatnya dahulu, Rosmah. Kedengaranlah lagu Simple Plan dari corong radio tersebut. "Apa barang heavy metal. Pop punk la baru layan" cetus hati Yazid sambil cuba menyebut bait-bait lirik dengan  sebutan inggeris ala-ala jawa Batu Pahat.

Sedang Yazid asyik melayan lagu Simple Plan tiba-tiba.... BANGGGGGGG!!!!! Bunyi letupan mercun bola memecah keheningan malam. Yazid tersentak hinggakan punggungnya terangkat sedikit dari kerusi. "Lahanat mana la main mercun bola malam-malam ni?" rungut Yazid. Tapi dia yakin, yang hanya berani meletupkan mercun di malam hari ini sudah pastinya pelajar Form 5 juga. Yazid malas ambil kisah sebab mereka satu batch.

Tidak lama kemudian Yazid terdengar keadaan riuh rendah menuju ke dormnya. Tiba-tiba Mat Yong muncul di pintu dorm Yazid dengan baju serba hitam. "Baru balik fly la tu" kata hati Yazid.

"Yazid, ko dengar tak bunyi mercun tadi?" tanya Mat Yong dengan nada geram
"Dengar. Kenapa?"
"Ko tau tak sape yang bakar mercun tu?!" semakin geram nada suara Mat Yong
"Mana aku tau dowh...aku tak jenguk pun keluar" balas Yazid, malas hendak melayan Mat Yong yang gempal
"Aku menyirap betol la dengan budak form 3 tu. Aku tengah belajar tadi sampai terkejut aku. Aku terus lupa nak tiru yang mana!" Mat Yong semakin marah

Tiba-tiba Bahar, Udin dan Kamil muncul di muka pintu sambil tangan mereka menarik Farhan yang juga dikenali sebagai Mat Kasut dikalangan pelajar senior.

"Yazid, aku nak pinjam dorm kau. Kasut lahanat ni pergi bakar mercun tengah malam. Terus aku tak jadi gayut dengan si Melur!" ujar Bahar. Dia memang marah.
"Aku nak setel si Kasut ni kat dorm kau boleh tak Yazid?" tanya Kamil pula tak sabar
"Kau pun mesti nak join setel budak ni jugak kan? Ko sedang belajar mesti terganggu punya sebab si Kasut ni bakar mercun!" Udin cuba menyemarakkan lagi api Yazid yang malap itu.

Tidak sampai 5 minit, sudah ada hampir 15 orang di dalam dorm Yazid. Hanif, Anuar, Leman, Awang dan Johan yang tidak tahu apa-apa pun ingin tumpang sekaki dalam sesi setel ni. Peluang yang jarang datang lebih-lebih lagi sekarang ini dorm sudah diasingkan mengikut form. Farhan hanya diam kaku berdiri ala-ala menunggang motor. Dia tahu apa yang bakal dihadapinya. Seorang junior dikerumuni oleh berbelas senior, hanya ada satu kesudahan...KESAKITAN!

"Kau tau tak kenapa kau kat sini?" tanya Mat Yong kepada Farhan
"Tau bang. Sebab..." PANGGG! Kamil menampar muka Farhan
"Aku tampar kau sebab kau tak reti bagi salam. Terus jawab je." ujar Kamil selamba
"Assalamualaikum bang. Saya tahu kenapa...." PANGGGG! Kali ini Leman pula menampar Farhan
"Jadah kau! Mana ada kumbang kat sini!" Leman separuh menjerit. Jerit yang dibuat-buat konon marah.
Farhan terus terpinga-pinga dek penampar Kamil dan Leman.
"Jawab laa soalan aku tadi!!!" jerit Mat Yong
"Soalan apa bang?" tanya Farhan, ternyata masih terpinga-pinga, Mungkin berdesing telinganya masih belum hilang
PANGGG!!! Kali ini penampar Bahar pula hinggap di pipi Farhan.
"Mat Yong tanya kau tadi. Kau tau tak kenapa kau kat sini?!" jerit Bahar
"Assalamualaikum abang-abang. Saya kat sini sebab saya bakar mercun bola." jawab Farhan berhati-hati tak mahu dilempang lagi. Tapi Farhan tidak tahu, setiap jawapannya sudah pasti akan salah dan akan berakhir dengan KESAKITAN.

"Yazid, kau dengar tak dia cakap tu? Aku hormat kau sebagai ketua, so aku nak kau mula dulu. Kita kasi setel si Kasut ni!" ujar Mat Yong bersungguh, sampai ternampak lemaknya berombak-ombak. Yazid serba salah. Kalau ikutkan hati dia tak marah pun pasal mercun tu. Memang dia terkejut tapi dia tak kisah. Tapi, kalau tak diikutkan permintaan Mat Yong ni, semakin lama Farhan akan disuruh berdiri ala-ala menunggang motor. Yazid telah membuat keputusan. Dia bangun dari kerusi belajarnya dan melangkah ke arah Farhan yang sedang menunggang motor. Dikepalkan tangannya, sikunya dibengkokkan sedikit, dan lengannya ditarik kebelakang. BUKKKKK! Satu tumbukan padu melekat di perut Farhan.

"CHARGE!!!!" jerit si Leman umpama pahlawan viking ketika berperang. Berbelas-belas orang melepaskan tumbukan dan tendangan ke atas Farhan. Satu peraturan emas: Jangan Sentuh Bahagian Muka! Farhan semakin lemah. Yazid hanya memerhati dari katilnya. Mungkin tangannya kesakitan kerana Farhan mempunyai abdomen yang keras hasil latihan silat kuntau. Tiba-tiba si Awang yang gemuk dan pendek dilihat cuba melepaskan tendangan ala-ala kungfu. Sasaran Awang: dada Farhan. Tapi apakan daya, graviti lebih berkuasa. Badan Awang  yang berat itu ditarik ke bawah oleh graviti mengakibatkan kakinya tidak dapat diangkat tinggi. Sepakan Awang tersasar lalu terkena alat sulit Farhan.

"ADOIIIII!!!! K**ek aku!!!!" jerit Farhan senak

Semua berhenti sejenak dan membiarkan Farhan berguling-guling di lantai dorm. Seklip mata suasana menjadi senyap dan dorm Yazid menjadi kosong. Bahar tiba-tiba muncul membawa sebotol minyak lantas diberikan kepada Farhan.

"Nah, sapu sendiri kat tempat yang sakit" ujar Bahar separa takut lantas meninggalkan dorm Yazid.

Segala-galanya begitu pantas. Yazid keseorangan kembali. Farhan masih lagi di atas lantai memegang botol minyak pemberian Bahar tadi.

"Kan aku dah pesan, kalau nak main mercun, main la siang-siang. Kan dah kena setel" kata Yazid sambil menembak jawapan soalan 5 latih tubi fizik.

1 comment: