Monday, September 04, 2017

Kisah Papan Hitam

Ucop menguap lagi. Termasuk yang ini sudah 9 kali Ucop menguap. Suara Cikgu Karim di depan kelas semakin sayup di telinga. Perenggan-perenggan novel Bukit Kepong nukilan Ismail Johari hanya lalu bagaikan mencurah air ke daun keladi.


Ucop bosan. Fawwaz yang duduk di meja sebelah sudah lama lena. 



"Tak guna betul si gemuk ni, siap berdengkur halus lagi!" jerit Ucop dalam hati. Jam sudah menunjukkan pukul 1 tengahari. Maknanya lagi 15 minit sebelum persekolahan tamat dan waktu makan tengahari. 


Ngantuk bakhang!

"Tak sabarnya nak pergi DM. Confirm orang berebut-rebut teruk harini." fikir Ucop lagi. Tiba-tiba dia mendapat idea yang bernas.



KRINGGGGGGGGGGGGGGGGG!!!!



Fawwaz di meja sebelah tersentak. "Semua bangun....Terima kasih Cikgu Karim." jerit Azril selaku ketua tingkatan diikuti oleh pelajar lain.



"Jom gerak Ucop. Lapar la. Berat betul topik tadi." ajak Fawwaz mamai.



"Alaa sudahlah kau. Berdengkur memanjang. Mana kau tau berat ke tak." bentak Ucop. "Takpe, kau pergi dulu, aku tau kau lapar. Aku nak setelkan sikit je lagi latihan Cikgu Karim ni"



"Eh, ada latihan ke?" Fawwaz bertanya.



"Ada laaah...kau pergi je la dulu..." Ucop mendesak.



"OK...OK...nanti turun prep sekali tau." Fawwaz pun beredar.



Ucop cuma tersenyum. Dia menunggu seketika sehingga kelas-kelas Tingkatan 4 kosong. Dia tahu ramai yang akan balik segera tengahari ini sebab menu makan tengahari adalah nasi ayam.



Selepas 5 minit, kelas-kelas sudah kosong. Ucop meneruskan rancangannya. Dia pergi ke setiap kelas Tingkatan 4 dan meninggalkan memo di papan hitam:


"ASSALAMUALAIKUM. ADA CERAMAH MAAL HIJRAH HARI INI PUKUL 3.15 PETANG. SEMUA WAJIB BERKUMPUL DI DEWAN BESAR. KEDATANGAN AKAN DIAMBIL!"


Cantik tak tulisan aku?

Setelah selesai, Ucop pun bergegas turun untuk naik ke asrama. Perutnya sudah berkeriuk-keriuk kelaparan. Sambil itu Ucop tersenyum puas.


"Confirm si Khairil yang kuat menipu tu yang kena tuduh buat benda ni. Rasakan!" Ucop gembira, rancangannya berjaya.

No comments:

Post a Comment